Pas Makin Ganas Keluar Fatwa Politik Pecah-belahkan Orang Melayu – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Pas dilihat semakin ganas dalam mengeluarkan fatwa politik yang memecah-belahkan orang Melayu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Jelasnya, pihak lawan sengaja mengapi-apikan kerjasama UMNO dan Dap yang menerajui Kerajaan Perpaduan pada ketika ini.

“Pihak lawan menjadikan kerjasama UMNO-Dap fokus untuk lemahkan Kerajaan Perpaduan. Apa sahaja kenyataan pemimpin atau ahli Dap yang kontroversi akan dieksploitasi.

“Kenyataan itu ada kalanya bersifat peribadi. Ia hanya cadangan. Belum pasti dilaksana. Perlu dipersetujui oleh kabinet,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, UMNO masih menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam serta tidak dijadikan kuda tunggangan seperti Pas.

“UMNO tidak akan setuju jika tidak sesuai dengan dasar UMNO. Sebab itu ada hikmahnya UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO benteng jaga kepentingan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu dalam Kerajaan Perpaduan hari ini. UMNO tidak jadikan agama kuda tunggangan macam Pas.

“Sebab itu tuduhan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi bahawa UMNO ‘alas kaki’ Dap adalah percubaan untuk panaskan hubungan Dap dan UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa Pas yang ‘naik tocang’ apabila menang banyak kerusi berbanding UMNO dan PPBM.

“UMNO bukan Pas yang puji Dap melangit waktu bersekongkol dulu. Lim Guan Eng disamakan seperti Khalifah Umar Abd Aziz.

“Afnan Hamimi juga kata Dap naik tocang. Sebenarnya Pas yang naik tocang bila menang banyak kerusi berbanding UMNO dan PPBM.

“Pas semakin ganas keluar fatwa politik yang memecahkan-belahkan orang Melayu. Ajaran Islam wajibkan bayar hutang. Tetapi Pas liat bayar hutang Harakah. Pas jadikan Islam ‘alas kaki’ kerana ‘naik tocang’,” katanya lagi.

Dalam artikel yang disiarkan di portal Harakahdaily, Afnan Hamimi percaya tidak semua ahli dan pemimpin UMNO bersedia menjadi ‘alas duduk’ kepada Dap dan Pakatan Harapan.

Ini selepas pemimpin Dap mengeluarkan kenyataan mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.