Jangan ‘Double Standard’, Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Tegas Pihak Main Isu 3R – Lokman

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan perlu tegas dan tidak ‘double standard’ dalam mengambil tindakan terhadap pihak tertentu yang berterusan memainkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum, tegas Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, hukuman setimpalnya perlu dikenakan kepada mereka ini yang memainkan isu tersebut tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka.

“Langkah yang perlu diambil kerajaan perlu tegas, untuk tidak mahu rakyat dan pimpinan terlibat dengan politik 3R.

“Jadi siapa juga yang sentuh politik 3R ini maknanya dia boleh menjejaskan ketenteraman awam akibat daripada memainkan isu sentimen agama, bangsa dan raja maka mereka ini perlu dibawa ke pengadilan tidak kiralah dia ini jawatan Tun ke, Tan Sri, Datuk, Datuk Seri.

“Tak kira latar belakang dia perlu dibawa ke muka pengadilan. Jadi kalau kerajaan tegas, tiada ‘double standard’ orang ini kita ambil tindakan… orang itu tidak diambil tindakan,” katanya.

Menurut beliau, melalui tindakan tegas ini sudah tentunya memberikan garis panduan kepada rakyat khususnya orang politik untuk berwaspada dalam membicarakan isu tersebut secara keterlaluan.

“Saya yakin sekali lebih ramai rakyat Malaysia yang akan menghormati keputusan yang dibuat oleh kerajaan apa yang boleh disentuh, apa yang tidak boleh.

“Isu apa yang patut dimainkan dan tak sepatutnya dimainkan, kena ada badan yang mengawasnya dan bagi saya badan terbaik sudah pastilah Kementerian Dalam Negeri. Kalau ada yang degil angkut sahaja,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.