HAWA Penyambung Suara Antara Masyarakat Dan Kerajaan, Bawa Mesej Perpaduan – Sharizat Jalil

KLANG, 21 Dis – Program yang dilaksanakan oleh Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) merupakan satu usaha daripada pertubuhan bukan kerajaan yang menjadi penghubung antara masyarakat dan kerajaan, demikian kata Pengerusinya, Tan Sri Sharizat Abdul Jalil.

Katanya, kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini adalah menyantuni pesakit-pesakit terutamanya kanak-kanak di wad pediatrik serta menzahirkan penghargaan kepada petugas-petugas kesihatan kerana memberikan perkhidmatan yang terbaik di negara ini.

“HAWA ini adalah sebuah organisasi yang menjadi penyambung di antara kerajaan dengan masyarakat sivil dan itu amat mustahak kerana suara rakyat hendak diketengahkan pada pihak berkuasa dan kerajaan.

“Bagi pihak HAWA menzahirkan penghargaan pada pihak HTAR dan kesemua tenaga kerja hospital kerana kesihatan itu adalah segala-galanya. Kami telah dimaklumkan oleh pihak Hospital dan menerima kunjungan dari HAWA atas permintaan bersama-sama menyantuni kanak-kanak di wad pediatrik dan terdapat 70 kanak-kanak di wad ini.

“Kunjungan dari HAWA khususnya Hawa Care yang dipengerusikan oleh Datuk Paduka Norhayati Onn sedikit sebanyak dapat menceriakan pesakit-pesakit terutamanya kanak-kanak,” katanya kepada UMNO Online ketika selepas sesi lawatan tersebut.

Turut hadir Pengerusi HAWA Care Malaysia, Datin Paduka Datuk Nor Hayati  Tan Sri Datuk Seri Onn, Timbalan Pengarah Perubatan tiga HTAR, Dr Md Razis Ramli, Ketua Penyelia Jururawat, Ummi Leila Hasan serta petugas-petugas kesihatan HTAR. 

Tambah Shahrizat, walaupun negara ini terdapat berbagai bangsa dan agama namun rakyat harus bersatu padu dan harmoni, maka HAWA membawa mesej kerajaan iaitu perpaduan di kalangan rakyat.

“Kita semua rakyat yang bersatu padu dan harmoni serta bersama-sama dengan kerajaan untuk membina negara ini. Kalau kita nak negara kita membangun dan bersatu padu paling penting rakyat mesti sentiasa sihat.

“Kami di HAWA berpendapat bahawa Malaysia mampu menjadi negara contoh di mana rakyat majmuknya dengan pelbagai kaum, budaya dan agama termasuk juga di Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama kata Shahizat lagi, kehadiran HAWA di HTAR ini adalah sebagai tanda kecil untuk beri penghormatan kepada mereka yang bakal menyambut hari Natal dan juga tahun baharu.

“Kita ini datangnya dengan pelbagai agama dan kaum serta menghormati dan meraikan perayaan masing-masing. Di kala dunia pada hari ini dilanda berbagai dugaan dan cabaran peperangan kerana berselisih faham dengan pertembungan agama.

“HAWA Malaysia ingin mengucapkan selamat hari Natal dan tahun baharu kepada semua rakyat Malaysia. Negara ini boleh menjadi negara contoh di seluruh dunia kerana rakyat berbilang kaum dan agama serta boleh hidup dalam harmoni di antara kita,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.