UMNO Sipitang Hargai Konsep Berkongsi Perayaan, Platfrom Perkukuh Malaysia Madani

SIPITANG, 20 Dis – Kepelbagaian sambutan perayaan di Malaysia mampu menjadi medium terbaik bagi saling kenal-mengenal dan mengukuhkan lagi jalinan kemesraan sesama masyarakat tanpa mengira perbezaan latar agama dan bangsa selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Mohd Noh berkata, sambutan Pesta Krismas yang bakal dirayakan oleh penganut Kristian minggu depan turut memberi kesempatan kepada masyarakat di negeri ini berkongsi semangat kunjungi-mengunjungi dan beramah mesra antara satu sama lain malah ia tentunya menjadi wadah bagi memperkukuhkan semangat perpaduan.

“Perayaan seperti ini sememangnya membuka peluang kepada kita semua untuk berkenalan dengan lebih dekat dan mengurangkan jurang perbezaan antara kita.

“Peluang dan kesempatan seumpama ini harus dihargai dan diteruskan agar pemikiran kita akan lebih terbuka untuk menerima persamaan dan perbezaan pelbagai kaum dan agama di Malaysia, sekali gus menggalakkan budaya saling menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan program ziarah perpaduan sempena sambutan Krismas ke beberapa buah kampung antaranya Kampung Muhibbah, Tunggul Tinggi, Kampung Long Kinangan, Kampung Batu 7 dan Kampung Ranau Ranau kelmarin.

Turur mengiringi Setiausaha UMNO Bahagian Sipitang, Mohd Jaini Puasa dengan menyantuni penduduk yang bakal meraikan sambutan Krismas.

Menurut Abdul Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pusat Giat MARA Sipitang, Sabah yang mempunyai lebih daripada 33 etnik dengan pelbagai bahasa dan agama merupakan negeri contoh dalam merealisasikan konsep Malaysia Madani.

Katanya walaupun penduduk Sabah terdiri dari pelbagai kaum dan agama namun semangat kekitaan dengan nilai-nilai persaudaraan yang kukuh dan harmoni terus dipertahankan.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai latar belakang pelbagai kaum dan agama, Sabah sudah tentu berada di hadapan dalam menterjemahkan konsep Malaysia Madani,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.