Setahun Kerajaan Perpaduan… Menteri, Timbalan Menteri Parti Beri Nilai Tambah Kepada UMNO

SABAK BERNAM, 20 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berpandangan bahawa prestasi barisan menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) mampu memberi nilai tambah kepada parti.

Ini kerana katanya, para pemimpin yang dipilih oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah semestinya mempunyai pengalaman dan latar belakang yang baik untuk bersama mengemudi kerajaan.

“Kepimpinan UMNO yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti di bawah Presiden sudah semestinya mempunyai pengalaman dan latar belakang baik di samping mempunyai pengaruh untuk mengemudi Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

“Pada saya, semua Ahli Parlimen khususnya daripada UMNO telah pun melakukan yang terbaik dalam portfolio yang telah mereka lakukan selama setahun ini. Begitu juga dengan portfolio-portfolio baharu dan sedia ada yang mereka perlu teruskan untuk tahun-tahun seterusnya.

“Kita perlu memberikan keyakinan penuh kepada semua pimpinan UMNO/BN samada yang diberi tanggungjawab sebagai menteri ataupun timbalan menteri di kementerian-kementerian ditetapkan… supaya setiap daripada keputusan dan juga pelaksanaan dasar polisi tersebut dapat memberi kelebihan kepada rakyat serta memberi nilai tambah kepada parti UMNO itu sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, UMNO masih lagi menjadi sebuah parti yang memperjuangkan suara akar umbi untuk mempertahankan agama Islam dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada saya, sebagai sebuah kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk membangun dan juga memacu negara khususnya dalam mempertahankan undang-undang tertinggi negara iaitu perlembagaan persekutuan.

“Telah termaktub bahawa agama Islam ini adalah agama persekutuan dan juga hak-hak istimewa Raja-Raja serta orang Melayu yang perlu dipertahankan. Tidak kira siapa mengemudi kerajaan, apatah lagi ditambah dengan kerajaan yang sedia ada pada hari ini dianggotai ramai kepimpinan tertinggi parti.

“Masih jelas bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang memperjuangkan suara akar umbi dan juga membawa suara rakyat Malaysia secara amnya dalam membawa naratif mempertahankan agama Islam dan juga bangsa Melayu,” katanya lagi.

Jelasnya, negara ini telah dicorakkan oleh dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh politik UMNO itu sendiri.

“Ini bukanlah sesuatu yang baharu. UMNO bukannya pertama kali berada dalam pentadbiran kerajaan bahkan UMNO telah berada dalam kerajaan Malaysia ini sejak sekian lama dari negara kita ini ditubuhkan.

“Tidaklah keterlaluan jika saya katakan bahawa negara kita ini dicorakkan oleh dasar dan juga polisi yang ditetapkan oleh politik UMNO itu sendiri. Jadi, yakinlah bahawa kerajaan dan juga negara kita berada dalam tangan selamat ataupun within the safe hand of the leadership yang ada pada hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri.

“Jadi, tidak ada apa yang perlu kita khuatirkan. Kita sebagai rakyat dan juga jentera kerajaan pada hari ini perlu terus memberikan sokongan yang penuh. Saya lihat kalau semua ini dapat kita realisasikan dengan semangat perpaduan, Malaysia akan terus menjadi sebuah negara yang membangun serta memberikan kebaikan kepada rakyat dan juga warganya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar sebuah kerjasama yang kukuh dan erat terbentuk supaya satu peluang baharu dapat digapai untuk memacu pentadbiran negara.

“Peranan UMNO itu sendiri dalam Kerajaan Perpaduan ini mungkin kita perlu melihat ke arah yang lebih long-term ataupun yang lebih berdaya tahan ataupun sustainable daripada segi politik.

“Kita mengharapkan agar akan ada satu kerjasama lebih kukuh dan erat bukan sahaja hanya mempunyai sekretariat Kerajaan Perpaduan, tetapi kita harus bersedia untuk melihat kepada realiti dan juga kehendak semasa.

“Mungkin hari ini kita boleh melihat kepada peluang baharu untuk mewujudkan satu gabungan yang lebih utuk bagi memacu kerajaan sedia ada ini bagi mentadbir negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.