Ikon Siswa: Penglibatan Mahasiswa, Mahasiswi Dalam Agenda Orang Muda Johor Amat Penting

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penglibatan pelajar-pelajar insitusi pengajian tinggi (IPT) amat penting dalam menyumbang pelbagai idea dan pemangkin kepada kemajuan negeri.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu di laman sosial X, Anugerah Ikon Siswa yang merupakan acara tahunan mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan mahasiswi anak negeri itu.

“Penglibatan mahasiswa dalam agenda Orang Muda Johor amat penting khususnya dalam menyumbang pelbagai idea kreatif dan inovatif selain menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negeri yang maju.

“Justeru, Anugerah Ikon Siswa yang merupakan acara tahunan bagi mahasiswa Anak Johor ini dianjurkan bagi mengiktiraf kejayaan individu serta persatuan mahasiswa Anak Johor seluruh negara dalam pelbagai aspek termasuk kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan, inovasi, kecemerlangan akademik dan sukan,” catatnya lagi.

Onn Hafiz yang hadir ke Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2023 pada Selasa di Johor Bahru turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Ikon Siswa tahun ini.

“Sebagai Ikon Siswa, saya amat berharap mahasiswa dan mahasiswi ini dapat menjadi contoh dan ikutan kepada mahasiswa lain,” katanya.

Tambah Onn lagi, beliau berharap agar platform yang disediakan ini dapat melahirkan modal insan yang matang dan berketerampilan, selain mempunyai jati diri yang teguh dan berminda kelas pertama dalam memacu Johor ke arah negeri maju menjelang tahun 2030.

Untuk rekod, sebagaimana yang dilaporkan oleh mediadigitaljohor, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat, Nur Raudhatul Jannah Abdul Rahman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Menteri Besar Johor – Ikon Siswa Johor sempena Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2023.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu turut berjaya merangkul Anugerah Siswa Johor Terbaik kategori Kepimpinan sekali gus membawa pulang hadiah berupa trofi berserta wang tunai keseluruhan bernilai RM3,000. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.