Bantuan Musim Tengkujuh: Kerajaan Peruntuk RM255 Juta, Lebih 200 Ribu Pekebun Kecil Dan Penoreh Getah Terima Manfaat

PUTRAJAYA, 20 Dis – Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan sebanyak RM255 juta bagi membantu pekebun kecil getah di seluruh negara yang terkesan akibat musim tengkujuh tahun ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, usaha ini merupakan langkah proaktif yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membantu meringankan beban dan menyokong kesejahteraan pekebun kecil dalam menghadapi cabaran pengeluaran hasil getah ketika ini.

Kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, sebanyak 311,596 permohonan telah diterima daripada jumlah sasaran penerima yang ditetapkan iaitu 318,750 individu melibatkan tiga agensi yang bertanggungjawab mengendalikan pembayaran ini.

“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah menerima sebanyak 230,735 permohonan. Manakala bagi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), sebanyak 69,077 permohonan diterima dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebanyak 11,784 permohonan.

“Bagi fasa penyaluran bantuan setakat ini, ketiga-tiga agensi telah mencapai prestasi bayaran RM140,829,600 yang mana pekebun kecil dan penoreh getah RISDA sebanyak RM76,140,800. Manakala, LIGS sebanyak RM55,261,600 dan FELDA sebanyak RM9,427,200.

“Secara keseluruhannya, setakat Disember, 271,213 permohonan telah diluluskan dan pemohon telah menerima bayaran sebanyak RM200 bagi bulan November dan Disember tahun 2023. Baki bayaran akan dikreditkan ke akaun penerima pada bulan Januari dan Februari tahun 2024 menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM800,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, kelayakan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melalui RISDA ini adalah kepada pekebun kecil dan penoreh merujuk kepada syarat utama yang ditetapkan, iaitu memiliki dan mengusahakan tanah bertanam getah tidak melebihi 2.5 hektar.

“Penyediaan BMT adalah untuk memastikan sokongan berterusan daripada kerajaan kepada pekebun kecil dan penoreh untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti perladangan getah dan menjana kemakmuran yang berpanjangan dalam sektor pertanian.

“Kerajaan berharap usaha ini memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat serta membawa kepada peningkatan kualiti kehidupan pekebun kecil secara keseluruhannya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.