Tidak Perlu Pilihan Raya PBT, Fokus Tangani Ekonomi Rakyat Dan Makmurkan Negara – SUA

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada keperluan untuk diadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak.

Katanya ini kerana agenda kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat adalah fokus yang perlu diberikan keutamaan pada ketika ini.

“Tidak perlu pilihan raya PBT, fokus tangani ekonomi rakyat dan makmurkan negara.

“Rakyat tidak perlu terus diheret ke kancah perbalahan dan perpolitikkan yang tiada kesudahan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Respon diberikan beliau itu ekoran cadangan oleh Pengerusi Dap Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga merangkap Ahli Parlimen Cheras yang mengesyorkan diadakan pilihan raya PBT.

Kemudian ianya mendapat perhatian semula apabila Dap Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikan semulanya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada semalam berkata fungsi PBT serta peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam mendepani isu bangunan strata di Wilayah Persekutuan perlu diberi keutamaan ketika ini berbanding cadangan untuk melaksana pilihan raya PBT.

Menurut Zaliha, perkara dasar seperti pelaksanaan pilihan raya PBT ini juga perlu kepada perbincangan lebih mendalam, membabitkan pelbagai pihak berkepentingan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.