Jangan Ganggu Gugat Sensitiviti Sesama Kaum – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Penambahbaikan boleh dilakukan selagi ia tidak mengganggu-gugat sensitiviti sesama kaum dan tiada kompromi dalam isu ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Jelasnya, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi akan dapat dicapai sekiranya hak kaum majoriti tidak dipertikai dan kaum minoriti tidak ditinggalkan.

“Kestabilan politik negara dan kemakmuran ekonomi boleh dicapai apabila hak-hak kaum majoriti tidak dipertikaikan dan dalam masa yang sama kaum minoriti tidak ditinggalkan serta dijaga.

“Ia sama seperti ketika BN menjadi kerajaan majoriti sebelum ini. Penambahbaikan boleh dilakukan selagi mana ia tidak mengganggu-gugat sensitiviti sesama kaum. Tiada kompromi dalam isu ini. Noktah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Respon diberikan beliau itu ekoran cadangan oleh Pengerusi Dap Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai merangkap Ahli Parlimen Cheras yang mengesyorkan diadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kemudian ianya mendapat perhatian semula apabila Dap Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikannya semulan di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa semalam berkata fungsi PBT dan peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam mendepani isu bangunan strata di Wilayah Persekutuan perlu diberi keutamaan ketika ini berbanding cadangan untuk melaksana pilihan raya PBT.

Menurut Zaliha, perkara dasar seperti pelaksanaan pilihan raya PBT ini juga perlu kepada perbincangan lebih mendalam, membabitkan pelbagai pihak berkepentingan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.