Azalina Lakukan Pertemuan Bersama Zambry, Mahu Tingkatkan Pembangunan Pendidikan Di Pengerang

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berbesar hati melakukan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam pertemuan itu, Azalina berkata pelbagai perbincangan dilakukan termasuk membabitkan pembangunan pendidikan di kawasan beliau iaitu di Parlimen Pengerang.

“Bertemu dengan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi yang baru. Dasar dan peluang pengajian tinggi amat penting dan berkait rapat dengan kawasan saya Pengerang yang kini hab sektor kimia dan petrokimia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza beliau turut memaklumkan bertemu dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M.Kulasegaran yang baharu dilantik.

Mengambil kesempatan dalam perjumpaan pertama bersama timbalannya itu Azalina berkongsi gerak kerja kementerian tersebut dalam memperkasa institusi perundangan negara.

“Bertemu dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kulasegaran hari ini untuk berkongsi dengan beliau mengenai gerak kerja serta halatuju reformasi undang-undang dan institusi,” ujar beliau.

Untuk rekod pada Selasa lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinetnya yang pertama sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Anwar memaklumkan, rombakan itu diadakan bertujuan penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa kerana setiap perubahan dari segi perkembangan ekonomi serta permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup harus ditangani dengan baik.

Jumlah keseluruhan jemaah menteri meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang secara keseluruhannya namun masih lagi rendah jika dibandingkan dengan 70 orang pada pentadbiran sebelum ini.

Rombakan itu melibatkan pertukaran portfolio menteri-menteri sedia ada serta penyertaan baharu antaranya kepimpinan daripada UMNO/BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.