Setahun Kerajaan Perpaduan: Menteri Berpengalaman UMNO Bantu Kecekapan Urus Tadbir Negara – Zawawi

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Para menteri daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan ia dapat membantu Kerajaan Perpaduan menguruskan negara dengan lebih progresif.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, selama setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, banyak perkara yang dapat diselesaikan secara berperingkat bagi memudahkan kehidupan seharian rakyat.

“Alhamdulilah setidak-tidaknya kita mempunyai kerajaan… yang mentadbir hari ini nak kata semuanya sempurna itu tidaklah. Tetapi, kalau kita tengok sebelum ini ada masalah harga barang.

“Pada ketika ini pun masih berlaku perkara yang sama tetapi kita lihat semuanya boleh diatasi mengikut peringkat. Kita lihat beberapa kementerian yang bergerak dengan lebih baik daripada pentadbiran terdahulu.

“Alhamdulilah, kesihatan negara juga bertambah baik jika hendak dibandingkan dengan zaman COVID-19 dahulu. Itulah sedikit sebanyak yang kita lihat pada hari ini. Mustahil untuk puaskan hati semua pihak tetapi kita melihat bahawa pergerakan dan anjakan itu ada,” katanya kepada UMNO Online.

Pengalaman yang dikuasai oleh para pimpinan daripada UMNO juga terbukti pada zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sering diberikan kepercayaan untuk menjawat portfolio penting.

“Kalau kita lihat menteri kita (UMNO) dan menteri-menteri lain pun ada kelebihan. Cuma, menteri daripada UMNO ini mempunyai pengalaman jika nak dibandingkan dengan orang lain.

“Kalau kita lihat kerajaan terdahulu contohnya Pakatan Harapan (PH) 1.0 macam tidak kena. Tetapi, apabila bertukar kepada PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih ramai daripada kalangan UMNO untuk menerajui pelbagai kementerian.

“Bahkan, yang telah melompat ke PPBM juga telah digunakan untuk menjadi menteri. Sebenarnya, yang ada dalam PPBM ini tidaklah ramai sangat jadi menteri kerana kebanyakannya daripada UMNO,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa UMNO merupakan sebuah institusi yang memberikan latihan kepada para pemimpin agar lebih cekap dalam mentadbir di setiap peringkat.

“UMNO ini adalah satu tempat latihan kepada para pemimpin untuk mentadbir sama ada menjadi pemimpin bawahan atau atasan. Kita akui dan lihat bahawa menteri UMNO lebih cekap dalam mentadbir.

“Ini adalah disebabkan pengalaman mereka dalam bidang pentadbiran, bukan (semata-mata) berdasarkan kepada kecerdikan ataupun kepandaian. Itulah kelebihan yang ada pada UMNO dan kita lihat walaupun kita tidak mempunyai ramai ahli Parlimen tetapi setidak-tidaknya kita mempunyai lima atau enam menteri termasuklah Timbalan Perdana Menteri.

“Jadi, ini sudah cukup untuk kita gerakkan negara ke arah lebih baik dengan pengalaman yang ada pada menteri-menteri kita,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan telah menjangkau usia satu tahun pentadbirannya pada 23 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, tiada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Untuk menamatkan kemelut negara tidak berkerajaan selama beberapa hari, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.