Gabungan Pemimpin Lama Dan Baharu Dalam Kabinet Bawa Perubahan, Reformasi Masa Depan Negara

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias menyifatkan kepelbagaian latar belakang dengan gabungan wajah pemimpin lama dan baharu dibawa masuk ke dalam Kabinet Persekutuan dilihat mampu membawa perubahan serta reformasi demi masa depan negara yang lebih baik.

Katanya, dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar maka barisan kepimpinan yang terpilih harus melihat ianya satu tanggungjawab besar dalam memastikan mandat  diberi dapat dilaksanakan dengan baik dan seterusnya mendapat kepercayaan daripada rakyat.

“Bak kata Perdana Menteri, tidak perlu ada perubahan dalam Kabinet pada tahun-tahun mendatang jika kepimpinan baharu mempamerkan prestasi baik, tiada tekanan atau permasalahan baharu.

“Maka bagi barisan menteri dan timbalan negeri yang diberikan amanah ini, pikullah amanah ini dengan adil dan jujur. Letakkan tanggungjawab pada agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan sendiri,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mohd Hilmi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh dalam pada itu turut mencadangkan pihak pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk Kabinet bayangan bagi bertindak sebagai semak dan imbang.

Katanya ini kerana pembentukan Kabinet bayangan tersebut merupakan langkah penting dalam usaha menawarkan cadangan alternatif yang konkrit kepada kerajaan dan rakyat di samping menyelesaikan ketidaktentuan politik sedang berlaku pada ketika ini.

“Saya menggesa supaya dapat dibentuk sebuah Kabinet bayangan dan memberikan tumpuan kepada pengimbang tara kepada pembangunan dasar yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Saya menyarankan supaya pembangkang membangunkan idea dasar untuk menangani masalah pengangguran, menghidupkan semula ekonomi, meningkatkan tadbir urus baik. Sekurangnya ia mampu menjadi check & balance kepada Kabinet baru yang dibentuk oleh Perdana Menteri ini,” ujar beliau.

Beliau berharap ianya memberikan nafas dan wajah baru kepada arena politik Malaysia kerana anak muda Malaysia pada masa kini harus diberi contoh kepimpinan yang baik oleh pemimpin-pemimpin sedia ada.

“Cukuplah sajikan kami dengan politiking yang berpanjangan. Ini masa untuk membawa satu dimensi baru kepada politik Malaysia yang lebih matang,” katanya lagi.

Terdahulu pada minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet pertama beliau sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan sebagai usaha memperkukuh pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Rombakan itu melibatkan pertukaran portfolio menteri-menteri sedia ada serta penyertaan baharu antaranya melibatkan kepimpinan UMNO/BN, iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dan Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.