Dukung Kerajaan Perpaduan, Jangan Sengaja Cetus Provokasi Terhadap Status Quo – Akmal

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap pemimpin daripada parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan untuk cakna dengan isu-isu yang dibawa mereka agar tidak menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ini kerana provokasi pendapat ini membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang.

“Saya berpandangan kenyataan-kenyataan sebegini amat tidak perlu dan hanya mencetuskan ketidaharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malah saya percaya dalam Kerajaan Perpaduan sendiri juga tidak selesa. Ia umpama provokasi sengaja terhadap ‘status quo’ persefahaman diantara kaum yang dikecapi selama ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Respon Akmal adalah berkenaan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Dap sejak akhir-akhir ini antaranya Tan Sri Lim Kit Siang berkaitan impian bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Terkini Pengerusi Dap Kuala Lumpur, Tan Kok Wai mengusulkan supaya diadakan pilihan raya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) Wilayah Persekutan Kuala Lumpur sebagai negeri perintis.

Tegas Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, demografi penduduk berdasarkan bancian di Wilayah Kuala Lumpur adalah seramai 1,588,750 orang sedangkan daripada jumlah itu hanya 45.9 peratus merupakan penduduk bumiputera.

“Jika diadakan pilihan raya, semestinya ketidakseimbangan akan wujud dan boleh dijangka apa kesudahannya.

“Selama enam dekad Malaysia ditadbir, ia bedasarkan konsensus dan kemuafakatan. Disokong dan disenangi oleh majoriti. Kenyataan-kenyataan sebegini seolah ada mesej atau isyarat yang tersirat yang hendak disampaikan.

“Pimpinan harus lebih sensitif dan menghormati kehormanian sedia ada, bukan membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat dan sesama kaum,” katanya.

Tegas beliau lagi, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama ini kerana berada di dalam kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara.

“Kerajaan ini dibina dengan kehadiran UMNO dan segala keputusan yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu kami tidak akan sedikit pun berganjak apa lagi mengalah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.