Ahmad Zahid Seru Teruskan Semangat Bersolidariti, Berikan Sokongan Kepada Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru teruskan semangat bersolidariti dan memberikan sokongan kepada rakyat Palestin.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa bantuan Kemanusiaan Ops Ihsan Ke Gaza adalah manifestasi kesatuan hati rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau pegangan politik dalam menzahirkan saluran kemanusiaan tanpa sempadan.

“Teruskan semangat bersolidariti dan tanpa henti kita dalam memberi sokongan kepada rakyat Palestin. Bantuan ini adalah manifestasi kesatuan hati rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau pegangan politik dalam menzahirkan saluran kemanusiaan tanpa sempadan.

“Diharapkan usaha ini akan membawa sinar harapan kepada rakyat di Gaza yang sedang berhadapan dengan cabaran besar ini dan semoga perdamaian akan dapat dikecapi dan keadilan akan mengatasi segala ketidakadilan yang berlaku,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meninjau persiapan terakhir penghantaran ketiga misi bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia ke Palestin menerusi Ops Ihsan di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Maklumnya, penerbangan bantuan kali yang ketiga ini memuatkan muatan barangan sebanyak 60 tan.

Ia terdiri daripada 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan barangan makanan sedia dimakan (ready to eat), 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan
persiapan musim sejuk termasuk tilam, selimut dan kit Wanita yang akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk disalur kepada penduduk Palestin di Gaza. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.