Usaha Khidmat Kepada Rakyat Sebati Dalam Perjuangan UMNO – Sharif Musa

LAHAD DATU, 16 Dis – Gerak kerja sepanjang masa tetap dilaksana oleh UMNO biarpun bukan musim pilihan raya kerana usaha berkhidmat kepada rakyat telah sebati sebagai asas perjuangan parti.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang memaklumkan bahawa pelaksanaan gerak kerja dalam menyampaikan sumbangan khususnya bakul makanan kepada mereka yang kesusahan.

“Hal ini digerakkan dalam setiap peringkat dengan yang terbaru, Setiausaha UMNO Bahagian Lahad Datu, Moktar Lajasali mewakili saya dan rakan-rakan ahli jawatankuasa UMNO Lahad Datu menyampaikan sumbangan kewangan dan bakul makanan kepada beberapa keluarga yang ditimpa musibah di Kampung Sapagaya, Kampung Binuang dan Kampung Jawa, di sini,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu Sharif Musa telah menyampaikan sumbangan kepada ketua-ketua Cawangan di DUN Segama melibatkan 120 orang, ketua-ketua Cawangan DUN Silam seramai 150 orang selain golongan asnaf di kawasan terbabit.

Jelas beliau, UMNO bahagian terbabit sentiasa siap siaga dalam memastikan khidmat kepada rakyat dilaksana termasuklah menggembling tenaga ke arah persediaan jentera untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan Program Persiapan Jentera PRN Sabah bagi DUN Segama dan DUN Silam pada awal Disember lalu.

“Dengan tema ‘Sabah Baru’ ini menjadi platform untuk kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di sini menerangkan kepada orang awam mengenai usaha-usaha yang telah diperjuangkan sejak kemerdekaan dan pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh UMNO.

“Insya-Allah, kita bersedia mendepani apa-apa juga cabaran termasuklah jika berlaku pembubaran DUN Sabah pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Lahad Datu termasuklah pasukan penyelaras dan ketua-ketua Cawangan serta semua pihak yang sentiasa menyokong UMNO.

“Sokongan dan dukungan ini amat bermakna malah kita perlu kekalkan momentum berterusan sehinggalah kepada kemenangan UMNO/BN dalam PRN kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.