Jualan RAHMAH Beri Impak Besar, Dapat Respon Positif Daripada Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan Jualan RAHMAH mendapat reaksi positif daripada rakyat yang mahukan ia menjadi program berterusan.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, kerajaan negeri akan meneruskan agenda tersebut dengan beberapa penambahbaikan agar impak yang lebih besar bakal dinikmati oleh rakyat.

“Selepas beberapa bulan saya diamanahkan sebagai Exco Kanan, saya turun sendiri untuk dapatkan maklum balas rakyat. Rata-rata memberi respon yang positif dan mahu jualan sebegini diteruskan.

“Jadi untuk tahun hadapan, insya-Allah kerajaan negeri akan meneruskan agenda ini dengan beberapa penambaikan agar impak yang lebih besar dapat dinikmati rakyat kebanyakan,” katanya dalam satu hantaran di akaun X.

Catatnya juga, menjual barangan harian dengan harga yang rendah adalah objektif Jualan RAHMAH dan Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang berakhir bulan ini bagi sesi 2023.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut melampirkan beberapa keping gambar di Jualan RAHMAH dan Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang hari ini di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jelebu, Simpang Pertang.

Semalam, Jalaluddin juga melampirkan grafik Jualan RAHMAH di beberapa kawasan Parlimen di Negeri Sembilan yang bermula hari ini hingga ke Ahad ini, antaranya seperti di Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah.

Dalam satu hantaran di akaun media sosialnya itu, Jalaluddin turut menyampaikan sumbangan Fokus Kesejahteraan Rakyat Parlimen Jelebu di pejabatnya.

“Minggu ini seramai 12 penerima mendapat manfaat, yang masing-masingnya tertumpu kepada pembangunan insani dan kebajikan manusiawi.

“Hanya satu saja harapan saya melalui sumbangan ini, iaitu diharapkan semua masyarakat Jelebu dapat hidup dengan penuh sejahtera dan selesa sentiasa,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.