Gerak Kerja Wanita UMNO Tidak Pernah Terhenti, Terus Dekati Rakyat – Noraini

KUALA LUMPUR, 15 Dis – UMNO sebagai parti terbesar untuk orang Melayu/Bumiputera sentiasa konsisten dalam mendukung perjuangan agama, bangsa dan negara, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya, ini termasuk dalam melaksanakan gerak kerja baharu dalam mendekati rakyat dan membantu mereka tanpa mengira masa mengambil kira pengalaman sebelum ini.

“Kita ini adalah parti politik… dan selaku parti politik yang dominan iaitu meliputi orang Melayu/Bumiputera sudah semestinya kita kena bersedia pada bila-bila masa kalau sekiranya ada pilihan raya.

“Sebab itu gerak kerja kita bukan hanya terhenti mengikut masa tetapi pada bila-bila masa kerana sentiasa ada brainstorm untuk datangkan pembaharuan cara hendak mendekati rakyat.

“Kita pun tahu dalam pilihan raya yang lepas kita tidak berjaya untuk menjadi kerajaan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Taklimat Gerak Kerja Pilihan Raya dan Kursus Pentadbiran Setiausaha Wanita UMNO yang diadakan pada Jumaat di Auditorium Menara Dato Onn, hari ini.

Dalam pada itu, Noraini yang baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkata kursus seumpama ini akan terus dilaksanakan sebagai meraikan semangat wanita terutama dalam kalangan setiausaha wanita.

Menurut beliau lagi, ianya juga platform terbaik dalam memberikan pendedahan baharu kepada jentera wanita bagi melaksanakan kerja terbaik dalam meyakinkan rakyat untuk bersama UMNO.

“Kursus-kursus seperti ini sangat penting untuk kita duduk bersekali dan memikirkan apa perancangan untuk dilaksanakan yang boleh kita dapat bagi meyakinkan rakyat bersama dengan kita.

“Dan hari ini pendekatan yang dibuat agak berlainan sebab kita memanggil orang luar untuk berkongsi dan memberi kemahiran dari segi cara bekerja sebagai setiausaha dan ianya mendapat sambutan yang bagus dan insya-Allah kita akan kembangkan dengan melaksanakan kursus bukan hanya sehari tetapi mungkin lebih daripada itu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.