Dr Asyraf Hargai Wanita, Teruskan Usaha Kerja Keras Perkuat UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap jentera wanita terutamanya Jalinan Rakyat (JR) dapat terus berkerja keras bagi memastikan UMNO menang pada pilihan raya akan datang.

Katanya, UMNO perlu menambat dan menyakinkan kembali orang-orang Melayu dan rakyat keseluruhan demi meneruskan perjuangan parti. 

“Kalau nak menang pilihan raya kena buat cara nak menang, antara perkara yang harus dilihat adalah operasi dan gerak kerja piihan raya termasuk soal JR. Nak menang pilihan raya kita kena perkukuhkan lagi UMNO sebagai parti yang mewakili orang Melayu.

“Kembalikan UMNO ini kepada akarnya. UMNO ini ditolak kerana kita makin jauh dengan rakyat dan itu realiti yang ada di bawah. Pengalaman di Kemamaman cukup mengajar ahli UMNO dan kita sendiri pun tidak kenal orang di sekililing kita. Macam mana hendak kata  parti ini dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Gerak Kerja Pilihan Raya dan Kursus Pentadbiran Setiausaha Wanita UMNO. Turut hadir, Setiausaha Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar, Exco-exco Wanita UMNO dan setiausaha-setiausaha wanita UMNO seluruh negara di menara Dato’ Onn.

Tambah Dr Asyraf lagi, jentera UMNO harus melakukan kerja dengan teratur dan fokus pada Parlimen tumpuan dan juga yang bukan tumpuan.

“Kita kena berlapang dada dan pastikan terutamanya ‘tak boleh sedikit pun rasa sangsi’ dan UMNO boleh bangkit kembali dengan syarat buat kerja dengan betul serta teratur dan fokus pada Parlimen-parlimen tumpuan dan juga yang bukan tumpuan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar kerana membuat program bersama setiausaha Wanita UMNO seluruh negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.