Usaha Runtuhkan Kerajaan Perpaduan… PN Perlu ‘Move On’, Jadi Pembangkang Berintegriti

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam menasihatkan Perikatan Nasional (PN) supaya ‘move on’ daripada merancang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang yang berintegriti serta berwibawa.

Jelasnya, mereka sepatutnya menerima hakikat kerana sudah pun selama setahun bergelar pembangkang setelah enggan bersama-sama parti lain untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sepatutnya dalam tempoh mereka sudah pun bergelar pembangkang dan enggan bersama-sama membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan Kerajaan Perpaduan yang lain, mereka kena terima hakikat.

“Pertama sekali kena terima hakikat dan ‘move on’. Tetapi, mereka ini tidak boleh terima hakikat. Kalau mereka terima hakikat dan ‘move on’ sudah pastilah mereka akan fokus buat kabinet bayangan dan ‘check’ setiap ahli parlimen.

“Kalau contohnya mereka ada kabinet bayangan yang menjaga Kementerian Komunikasi, mereka akan ‘mark’ apa yang Fahmi Fadzil buat. Kalau kata mereka ada kabinet bayangan yang menjaga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), mereka akan jaga apa yang Tengku Datuk Seri Zafrul buat,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman ‘X’.

Menurutnya, PN hanya berterusan berpolitik sehingga lupa untuk menyantuni rakyat dan memberikan cadangan bernas kepada kerajaan.

“Tetapi, mereka tidak ada buat sebarang perancangan tersebut dan berterusan berpolitik sahaja seperti kita sedia maklum sehingga usaha untuk menyantuni, membela rakyat dan memberikan cadangan-cadangan bernas kepada kerajaan… macam mana hendak mengukuhkan ekonomi rakyat, menyelesaikan masalah-masalah dan ini mereka abaikan.

“Tetapi, yang menjadi fokus mereka ialah selepas pilihan raya di peringkat persekutuan mereka nak menurunkan kerajaan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN). Selepas PRN mereka fokus berpolitik untuk merampas kerusi Pulai dan Simpang Jeram bagi menukar kerajaan di peringkat persekutuan.

“Kemudian mereka cakap nak merampas pula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai supaya boleh tukar kerajaan negeri Pahang dan sekaligus berusaha ke arah menukar kerajaan di peringkat persekutuan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, usaha untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan ini turut diteruskan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

“Di Kemaman pun perkara yang sama juga berlaku. Mereka mengatakan mahu mengangkat Samsuri sebagai Perdana Menteri. Semua ini adalah usaha ke arah untuk menukar kerajaan ataupun menebuk atap.

“Tetapi kerajaan kita hari ini alhamdulilah bukan setakat semakin kuat. Kita juga tahu bahawa lima orang ahli parlimen mereka termasuk Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Hussin telah pun menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, makin hari mereka ini makin lose ground. Sepatutnya mereka dah boleh move on dan menjadi pembangkang yang berintegriti serta berwibawa. Berhentilah buat kerja-kerja jadi ‘kerengga’ ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.