UMNO Terus Bersama Rakyat, Salurkan Permasalahan Untuk Tindakan Segera Demi Keselesaan

KENINGAU, 14 Dis – UMNO Bahagian Keningau mengesa kerajaan khususnya jabatan yang berkaitan agar turun padang meninjau beberapa batang jalan raya di daerah itu yang mengalami kerosakan serius sehingga membebankan penduduk kampung dalam melaksana aktiviti harian.

Ketuanya Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, hasil pemantauan dalam program turun padang UMNO bahagian itu, mendapati banyak jalan kampung mengalami kerosakan sehingga menyulitkan kenderaan kecil melaluinya.

Katanya antara jalan raya yang dikenal pasti mengalami kerosakan agak kritikal ialah di Kampung Gaulan Keningau ekoran tidak diselenggara hingga menyebabkan ia berlubang-lubang dan sukar dilalui oleh kenderaan.

“Apabila menerima aduan penduduk kampung, saya bersama jawatankuasa UMNO bahagian turun padang bagi melihat kerosakan yang diadukan dan tindakan awal yang boleh kita lakukan ialah menghantar bantuan melibatkan beberapa lori batu kerikil bagi membaiki segara kerosakan terutamanya lubang-lubang besar yang membahayakan pengguna,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kampung tersebut.

Menurut Nik Mohd Nadzri, sama ada jalan raya ini di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya atau sebaliknya, pihak berkuasa tempatan atau pihak konsesi yang sudah dilantik perlu melaksanakan tindakan segera bagi memperbaikinya.

“Tindakan ini bukan sahaja untuk keselesaan penduduk kampung yang saban hari melalui jalan raya ini namun ianya juga turut melibatkan aspek keselamatan pengguna.”

Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah berkata, UMNO yang sentiasa mengutamakan masalah rakyat malah cakna kepada isu yang dihadapi selain menghulurkan bantuan awal termasuk menyalurkan permasalahan rakyat kepada kerajaan untuk tindakan susulan.

“Saya minta pemimpin masyarakat kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung termasuk ketua-ketua Cawangan UMNO bukan sahaja peka dengan isu atau masalah rakyat tapi dapat juga menyampaikan melalui saluran yang tepat agar masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diambil tindakan segera,” katanya.

Selepas melawat kerosakan jalan tersebut Nik Mohd Nadzri bersama rombongan meneruskan program turun padangnya dengan melawat dan menyampaikan bantuan kepada warga emas di kampung tersebut.

Turut sama dilaksana ialah menghulurkan sumbangan peribadi kepada komuniti Gereja Kampung Gaulan yang diterima oleh David Liew mewakili jawatankuasa gereja terbabit untuk melaksanakan program mereka terutamanya menjelang sambutan Hari Krismas tahun ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.