Setahun Madani: Rakyat Perlu Rasional Lihat Komitmen Kerajaan Tadbir Negara – Azhar

KUALA LUMPUR, 14 Dis – “Sebenarnya kalau orang melihat dengan jujur maka akan dapat lihat kejujuran. Tetapi, kalau lihat dengan kebencian mereka akan dapat kebencian. Jadi sekarang ini kalau melihat secara menyeluruh kerajaan ini memang betul-betul menjaga kepentingan rakyat.

Demikian pandangan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berkenaan prestasi Kerajaan Perpaduan yang telah setahun mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Katanya, rakyat perlu rasional dalam menilai dan melihat inisiatif serta bantuan yang diberikan kerajaan kerana ianya merangkumi semua lapisan rakyat dan umur.

Namun katanya, agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan holistik bagi memastikan segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan diuar-uarkan kepada rakyat secara menyeluruh.

“Dalam tempoh setahun ini keseluruhannya saya melihat telah banyak perkara baik yang dilakukan kerajaan Madani, kenapa orang melihat tidak baik?

“Saya melihat banyak sekali peruntukan dan sumbangan kerajaan Madani di bawah YAB Perdana Menteri kepada rakyat.

“Cuma satu masalah sahaja… kadang-kadang tidak sampai ke pengetahuan rakyat contohnya seperti klinik kesihatan Madani. Saya melihat banyak perkara kerajaan bagi kepada rakyat, setengah tahu setengah tidak tahu.

“Jadi maksudnya peranan Jabatan Penerangan kena perhebatkan lagi dengan infografik mudah kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Menurut beliau, penyampaian bantuan oleh kerajaan ini sedikit sebanyak telah dimanipulasi oleh pembangkang yang sering kali mengalihkan pandangan rakyat.

“Pembangkang di dalam Parlimen tidak ada cerita lain, tiada cerita hendak bantu rakyat. Dalam Dewan Rakyat hanya maki hamun balun sana sini, bawa masalah parti di dalam Parlimen akhirnya kebaikan kerajaan itu tidak dapat dilihat.

“Pada pandangan peribadi saya, sangat banyak sebenarnya sumbangan-sumbangan kerajaan kepada rakyat,” ujar beliau.

Azhar malah menempelak pembangkang dan menyifatkan mereka sebagai menipu diri sendiri kerana seringkali memainkan isu pertukaran kerajaan sedangkan mereka pada ketika ini tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi.

“Hanya mereka yang berdusta pada diri sendiri dan menyebut bahawa kerajaan ini akan runtuh. Mereka menipu diri sendiri kerana ada hanya 60 kerusi, hendak perintah kena ada 112. Mereka pun sekarang ini ada enam Ahli Parlimen yang telah menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri.

“Jadi maknanya mereka menyokong kerajaan hari ini, jadi macam mana hendak jatuh? Kerana makin hari makin ramai orang menyokong Kerajaan Perpaduan, bukan semakin lemah.

“Mana mungkin tak stabil… 142 dengan 60 mana lebih kuat? Yang sebut tak stabil ini dalam Parlimen ini adalah mereka yang teringin hendak jadi pemerintah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.