Setahun Kerajaan Perpaduan, Rombakan Kabinet Bukti Komited Perbaiki Pentadbiran – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Madani sudah memasuki usia setahun dan rombakan Kabinet baru-baru ini membuktikan kerajaan komited menambah baik pentadbiran, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan.

Menurutnya, walaupun masih terlalu awal untuk menilai prestasi ‘kerajaan setahun jagung’ ini namun sungguh pun begitu, kerajaan tetap sebuah kerajaan.

“Kerajaan Peraduan atau Madani ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terutamanya untuk membela nasib rakyat. Sama ada baru setahun jagung atau bertahun lama, rakyat melihat dan menilai pada hasil tuainya.

“Meski setahun itu baharu, malah setahun itu sudah lebih kurang 365 hari. Mesti sudah ada sesuatu yang kita sudah nampak atau hasil yang sudah dituai.

“Meski masih terlalu awal untuk menilai prestasi Kerajaan Perpaduan tentunya masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan dan segala masalah yang hendak diselesaikan itu memerlukan masa untuk pulih terutamanya apabila berkaitan dengan ekonomi,” katanya.

Jelasnya, rombakan kabinet yang baru-baru diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas membuktikan kerajaan benar-benar mahu perbaiki segala kelemahan.

 

“Rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah bukti jelas kerajaan komited mahu membaiki segera mana-mana yang lemah dan menampung segera mana-mana yang kurang.

“Setahun berlalu harga barang dan inflasi terkawal. Kejayaan program seperti Skim Perubatan MADANI, peningkatan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan-bantuan yang telah meningkat untuk golongan petani dan pesawah dalam masa 25 tahun.

“Kerajaan juga telah menarik banyak pelaburan dari Asia Barat, China mahupun Amerika Syarikat, tetapi pada masa yang sama terdapat perkara yang sedang dibuat seperti pembaharuan institusi yang akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Tambah Hasmuni, kepercayaan dan keyakinan yang diberikan rakyat tidak wajar disia-siakan untuk membuktikan bahawa kerajaan hari ini benar-benar komited untuk membela rakyat.

“Sudah pasti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof tahu apa yang hendak dilakukan untuk mencapai maksud tersebut.

“Kita hanya perlu berikan masa, ruang dan peluang untuk kerajaan memenuhi kapasiti yang ada. Ramai anggota kabinet atau jemaah menteri daripada PH adalah muka baharu yang memegang portfolio kementerian masing-masing.

“Namun, harus diingat bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini didukung juga oleh ‘otai-otai’ dan menteri berpengalaman daripada BN,” jelas beliau.

Pada masa yang sama kata Hasmuni, kerajaan menguar-uarkan tentang kestabilan dan perpaduan sebagai teras kemakmuran negara.

“Ini benar… jika tidak ada kestabilan dan perpaduan, kita tidak dapat kecapi kemakmuran, malah keharmonian dan keamanan pun boleh tergugat. Kerajaan menghadapi cabaran domestik dan global yang bersilih ganti. Keadaan ekonomi terutamanya dipengaruhi oleh banyak faktor. Faktor global di luar kawalan kita.

“Benar, dalam mana-mana pentadbiran dan pengurusan, mestilah ada kelemahan atau kekurangan di sana sini. Namun itu bukanlah alasan untuk berlepas tangan atau menganggap ia tidak apa-apa,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.