Kerajaan Negeri Sembilan Terus Perkasa Ekonomi, Negeri Contoh Madani – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerajaan negeri bertekad akan bekerja sehabis baik untuk mereformasi ekonomi serta memperkasa rakyat luar bandar dan membina sebuah Negeri Madani contoh di negara ini.

Justeru katanya pembangunan strategik dan pada masa yang sama kesejahteraan luar bandar akan terus dikekalkan walaupun pelbagai tumpuan dan kepelbagaian pembangunan ekonomi dalam pelbagai sektor kelak.

“Kerajaan Pusat telah memperuntukan sejumlah RM11.554 bilion khusus untuk pembangunan kemajuan desa dan wilayah untuk tahun 2024. Jumlah ini adalah RM514 juta atau 4.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun ini.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga meletakkan sejumlah peruntukan yang tinggi melibatkan projek-projek pembangunan baharu dan sedia ada, program khidmat dan kesejahteraan masyarakat, kerja-kerja kecil kampung, pembangunan insani dan Skim Sejahtera Rakyat yang kesemuanya dicakupi di dalam peruntukan Belanjawan 2024 negeri berjumlah RM555 juta,” katanya menerusi kenyataan media.

Atas asas berkenaan kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu, pihaknya bersama wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan di bawah Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Luar Bandar Negeri Sembilan duduk semeja membuat perancangan dan perbincangan terperinci bagi memaksimakan sentuhan kepada rakyat bagi tahun hadapan.

“Untuk makluman umum, keluasan luar bandar di Negeri Sembilan merangkumi keluasan 77 peratus dengan 163 mukim. Justeru, kita perlu majukan pembangan strategik dalam masa sama kita harus kekalkan kesejahteraan luar bandar.

“Tumpuan juga harus ditekankan dalam proses urus tadbir kampung, program berimpak tinggi dan penglibatan belia dipergiatkan. Terdapat empat bidang fokus utama untuk kawasan luar bandar di Negeri Sembilan. Ia merangkumi pembangunan ekonomi berdaya maju, penambahbaikan penyediaan infra, peningkatan keupayaan komuniti dan pengukuhan kesejahteraan komuniti.

“Saya mahu memastikan setiap duit rakyat yang diperuntukkan akan memberi nilai berganda kepada ‘perut dan poket rakyat’ di negeri kita, terutama mereka yang berada di luar bandar. Insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.