Kabinet Baharu Cerminan Permuafakatan, Kesepakatan Kerajaan Madani – Zaidy

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menzahirkan tahniah pada kabinet baharu yang dianggap mencerminkan permuafakatan dan kesepakatan di kalangan pemimpin gabungan perpaduan dalam Kerajaan Madani.

Ini kerana katanya rombakan kabinet ini dilihat kombinasi yang mantap terutamanya dari kepimpinan UMNO yang akan memperkukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan.

“Tahniah kepada semua barisan Kabinet khususnya dari kalangan kepimpinan UMNO kerana dilantik untuk menggalas amanah yang besar untuk agama, bangsa dan negara ini.

“Penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana kebijaksanaannya dalam berunding bersama Perdana Menteri membolehkan pemilihan di kalangan pemimpin UMNO ke dalam barisan Kabinet dilaksanakan mengikut disiplin hierarki parti.

“Kebijaksanaan dalam rundingan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu membolehkan kepimpinan UMNO yang ada di dalam Kabinet boleh terus membawa suara serta perjuangan parti di dalam Kerajaan Madani ketika ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Zaidy, pengumuman yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri mencerminkan negara ini terus diyakini serta dapat memacu agenda Kerajaan Madani.

“Pengumuman barisan Kabinet baharu yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan permuafakatan dan kesepakatan di kalangan pemimpin gabungan perpaduan di dalam Kerajaan Madani.

“Laksanakanlah tanggungjawab yang telah diberikan ini dengan sebaik mungkin supaya setiap perancangan untuk negara dan rakyat akan dapat direalisasikan dalam suasana penuh semangat perpaduan, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau yakin dengan barisan Kabinet yang baharu, berpengalaman serta berkemahiran dapat membawa negara ini ke peringkat yang lebih tinggi dan disegani dunia.

“Dengan pengalaman serta kemahiran yang pelbagai melibatkan setiap mereka di barisan Kabinet baharu itu membuktikan Perdana Menteri serius untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi bagi tempoh empat tahun ini,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.