Tiada Sebab Pertikai Kongres Ekonomi Melayu… Pencapaian Pada Tahun 1965 Jadi Bukti Kejayaan – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki beranggapan bahawa tiada sebab untuk mempertikaikan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal berlangsung pada Januari 2024.

Ini kerana katanya, Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965 telah berjaya melahirkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan mengangkat jutaan anak Melayu-bumiputera ke arah kejayaan.

“Kongres Ekonomi Bumiputera 1965 melahirkan MARA. MARA pula telah lahirkan jutaan anak-anak Melayu-bumiputera yang berjaya.

“Apabila berjaya, taraf ekonomi dan kuasa beli Melayu-bumiputera meningkat. Peniaga bukan Melayu-bumiputera juga turut maju dan mendapat manfaat besar kerana majoriti rakyat punya kuasa beli yang tinggi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, kongres tersebut diadakan untuk menilai keberkesanan pelan tindakan bagi memastikan sosio-ekonomi Melayu-bumiputera terus diperkasakan.

“Justeru. tiada sebab untuk pertikaikan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang mahu menilai keberkesanan segala pelan tindakan.

“Selain itu, bagi memperhalusi segala strategi untuk memastikan tahap sosio-ekonomi kaum majoriti terus diperkasakan dan mampu bersaing dengan kaum-kaum lain secara sihat serta positif,” katanya.

Pada 14 Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Kongres Ekonomi Melayu akan dianjurkan seiring dengan tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Kongres tersebut akan diadakan pada Januari 2024, bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping memperkasa golongan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.