Setahun Kerajaan Perpaduan: Langkah Drastik Dilakukan Demi Kesejahteraan, Keamanan Rakyat – Manndzri

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Malaysia berada di landasan tepat untuk terus maju berdasarkan kejayaan meningkatkan tata kelola dan menghapuskan ketirisan serta pembaziran kian menampakkan hasilnya, kata Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.

Ini kerana katanya, langkah drastik telah diambil di bawah Kerajaan Perpaduan demi memastikan kesejahteraan dan keamanan rakyat terus dikecapi.

“Saya lihat kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedaya upaya cuba menyentuh semua lapisan rakyat sama ada dari kalangan kolar biru, putih, pelajar, belia mahupun yang dewasa agar dapat merasai nikmat yang diberikan oleh kerajaan.

“Paling penting sendi-sendi utama di dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini adalah memerangi rasuah dan tata kelola bagi memudahkan segala urusan serta memperkemaskan lagi hal ehwal urusan kerajaan supaya tata kelola ini terurus dan dapat mengurangkan ketirisan, penyelewangan dan sebagainya. Ini adalah sendi yang paling utama berkaitan dengan tata kelola bagi menangani urusan-urusan rasuah dan ketirisan.

“Mana-mana pentadbiran kerajaan pun sama, sama ada zaman Perikatan Nasional (PN) mahu pun zaman kerajaan Barisan Nasional (BN). Walaupun ketika itu sumber berbeza dan keadaan pun berbeza, tapi sumber dan keadaan sekarang Kerajaan Perpaduan cuba sedaya upaya untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Tambah Manndzri, masyarakat boleh menilai dan merujuk pada nota-nota yang ada melalui Bajet 2024 bahawa negara ini ingin membawa rakyat terus ke hadapan dan terdapat banyak agenda terutamanya berkaitan pemberdayaan semula Malaysia ini.

“Kalau kita bersama-sama dan tidak menyusahkan serta menyulitkan, saya yakin dan percaya Kerajaan Perpaduan mampu menjadikan negara ini sebuah negara yang paling baik di peringkat Asia.

“Bukan sahaja kabinet harus berkerja kuat malah rakyat harus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan supaya benar-benar boleh menyepadukan negara,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau lagi, mengimbau wabak penyakit yang melanda dunia negara ini tidak terkecuali terkesan malah Malaysia terus berusaha perbaiki dan memperkukuhkan lagi ekonomi dan hubungan dua hala.

“Kita tahu selepas pandemik Covid-19 bukan sahaja Malaysia yang terkesan ekonominya tetapi seluruh dunia turut terlibat. Negara ini dalam persediaan hadapi segala ujian termasuk juga konflik-konflik antarabangsa yang melanda dalam peperangan dagangan antara China dan Amerika malah juga peperangan antara Palestin dan Israel.

“Semuanya mempengaruhi tetapi Kerajaan Perpaduan berusaha sebaik-baiknya dengan pelbagai ‘resourses’ serta sumber-sumber yang ada bagi memastikan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat terus dikecapi,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.