Rombakan Kabinet: Tengku Zafrul Janji Beri Komitmen Terbaik, Pastikan Ekonomi Negara Terus Berkembang

PUTRAJAYA, 12 Dis – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berjanji untuk terus memberikan komitmen terbaik untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan kepercayaan untuk terus menerajui kepimpinan kementerian tersebut.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terus memberi kepercayaan dan keyakinan kepada saya untuk menerajui MITI.

“Insya-Allah, saya akan terus memberikan komitmen yang terbaik untuk memastikan ekonomi Malaysia berkembang dengan inklusif dan berdaya saing agar manfaatnya dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat Malaysia.

“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pasukan saya di MITI yang telah membantu saya sepanjang tahun pertama,” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan jemaah menteri baharu yang telah dilantik sebentar tadi.

“Tahniah diucapkan kepada mereka yang baru dilantik menganggotai Jemaah Menteri, dan juga kepada muka-muka baharu yang dilantik sebagai Timbalan Menteri.

I’m looking forward to working with my new cabinet colleagues, semoga kita dapat memperkukuhkan iltizam untuk memastikan agenda rakyat terus diutamakan selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet yang dilaksanakan selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, rombakan itu diadakan bertujuan penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa kerana setiap perubahan dari segi perkembangan ekonomi serta permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup harus ditangani dengan baik.

Jumlah keseluruhan jemaah menteri meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang secara keseluruhannya namun masih lagi rendah jika dibandingkan dengan 70 orang pada pentadbiran sebelum ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.