Mohamad Hasan Ikrar Komitmen Teruskan Dasar Luar Yang Progresif, Bebas Dan Berkecuali

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Menteri Luar yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohamad Hasan merakamkan kesyukuran atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas lantikan beliau ke portfolio tersebut.

Katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO, tanggungjawab tersebut dan amanah akan beliau laksanakan sebaiknya dengan kerjasama serta nasihat para pegawai kanan dan seluruh kakitangan Wisma Putra.

“Saya menzahirkan rasa terima kasih atas kepercayaan YAB Perdana Menteri untuk saya menerajui Kementerian Luar Negeri.

“Insya-Allah, komitmen saya ialah untuk meneruskan dasar luar yang progresif, bebas dan berkecuali, selari dengan kepentingan nasional dan peranan antarabangsa Malaysia.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir atas kepimpinan beliau yang cemerlang di Kementerian Luar Negeri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang sebelum ini sebagai Menteri Pertahanan turut meluahkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi dan seluruh warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia atas kerjasama yang baik diberikan mereka.

“Saya sangat terhutang budi dan berterima kasih atas segala kerjasama, saranan dan bantuan yang diberikan kepada saya semasa menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

“Pengalaman berharga yang saya dilalui di KEMENTAH akan abadi dalam kenangan untuk selamanya.

“Kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selamat bertugas di Kementerian Pertahanan. Insya-Allah pengalaman luas Datuk Seri akan memberi manfaat besar kepada warga Kementerian Pertahanan,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, Mohamad antara lima pemimpin tertinggi UMNO/Barisan Nasional (BN) yang berada dalam Jemaah Menteri termasuk yang baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Selain Mohamad dan Mohamed Khaled, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri kekal sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula bertanggungjawab di Kementerian Pendidikan Tinggi.

Seorang lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.