Lima Menteri, Lima Timbalan Menteri Angkat Sumpah Jawatan

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Lima menteri dan lima timbalan menteri baharu hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara di sini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut hadir menyaksikan majlis itu. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada istiadat itu, menteri-menteri dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama diketuai Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Kesihatan, diikuti Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo (Menteri Digital) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Sim Chee Keong (Menteri Sumber Manusia).

Kumpulan kedua pula terdiri daripada Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi) serta Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan II).

Selain itu, kumpulan pertama timbalan menteri terdiri daripada Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)), serta Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Ramanan Ramakrishnan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

Kumpulan kedua pula terdiri daripada Senator Dr Zulkifli Hasan yang dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh (Timbalan Menteri Pendidikan).

Kesemua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia, sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menteri dan timbalan menteri baharu itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Putrajaya, pagi tadi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.