Setahun Kerajaan Perpaduan: Penjawat Awam Penggerak Utama, Angkat Keupayaan Tranformasi Ekonomi Sosial

PUTRAJAYA, 11 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa penjawat awam sentiasa diyakini menjadi penggerak utama dan mengangkat keupayaan transformasi ekonomi serta sosial.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu turut menzahirkan kesyukuran atas ulang tahun Kerajaan Perpaduan yang telah setahun mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Alhamdulilah setahun sudah usia Kerajaan Perpaduan berteraskan gagasan Malaysia Madani.

“Semalam telah terbentuk satu kejayaan dan esok pasti menjelma lagi lebih kebangkitan di bawah payung Kerajaan Perpaduan ini. Semua ini hasil kerja kuat dan kerjasama penjawat awam yang mentadbir di seantero negeri.

“Malah pagi tadi, ketika berlangsung jua Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri untuk tahun 2023, beliau mahukan seluruh penjawat awam terus menunjukkan prestasi yang cemerlang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, dalam merealisasikan usaha Kerajaan Perpaduan ini memerlukan ketekunan dalam kerja di samping sistem nilai yang baik agar diterapkan dalam etika kerja seharian.

“Terus menghayati gerak kerja dan menyantuni rakyat jelata dalam cabaran kita menggapai langit, mengakari bumi. Baik kiranya ia mestilah didasari dengan kekuatan sistem nilai.

“Saya percaya penjawat awam sentiasa diyakini untuk menjadi penggerak utama dan mengangkat keupayaan transformasi ekonomi serta sosial yang gini giat diusahakan di bawah teras Malaysia Madani.

Jadi saya fikir bagi merealisasikan usaha ini, ‘Itqan fil a’mal’ iaitu ketekunan dalam kerja perlu diperkasakan dan disaluti sistem nilai yang baik untuk diterapkan dalam etika kerja seharian,” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengharapkan agar segala usaha Kerajaan Perpaduan dalam membela rakyat akan terus diberkati Allah SWT.

“Tambahan lagi, dalam kita berusaha menggarap idealisma, merealisasikan visi dan impian negara, jangan sesekali kita lupa mencerminkan nilai mulia.

“Teruslah menggapai langit, namun pastikan mengakar di bumi. Semoga semua usaha Kerajaan Perpaduan ini diberkati olehNya. Insya-Allah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan telah menjangkau usia satu tahun pentadbirannya pada 23 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, tiada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Untuk menamatkan kemelut negara tidak berkerajaan selama beberapa hari, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.