Percubaan ‘Tebuk Atap’ Akan Gagal, Kerajaan Perpaduan Ada ‘Bumbung Konkrit’ – PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata percubaan terdesak pembangkang untuk langkah ‘tebuk atap’ tidak akan berjaya kerana Kerajaan Perpaduan yang diterajui 18 parti komponen mempunyai ‘bumbung yang konkrit’.

Sepanjang setahun menerajui kerajaan, Perdana Menteri mengakui tidak pernah sekali pun berlaku pertelagahan disebabkan perbezaan dasar parti masing-masing.

“Bumbung kita bumbung konkrit. Sekarang ini di Putrajaya tidak ada tebuk atap.

“Percubaan tebuk atap ni, ada yang kata Ogos tetapi saya fikir kita ada kekuatan. Saya dalam Jemaah Menteri belum ada sekali pun pertelagahan atas nama perbezaan parti, perbezaan pendapat masing-masing ada,” katanya pada sesi dialog Majlis Perasmian Penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Sesi itu turut disertai kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.