TVET Usaha Kerajaan Perpaduan Untuk Peluang Pendidikan Secara Holistik – Rizan Hassan

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan berpandangan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diusahakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah usaha kerajaan untuk semua dan ini tidak pernah berlaku selama ini.

Jelasnya, ianya memberikan gambaran bahawa anak muda dan seluruh rakyat Malaysia mempunyai peluang pendidikan yang sama agar duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi dengan semua kumpulan tanpa ada seorang pun yang tertinggal.

“Saya yakin bahawa anjakan dan gerakan yang dipelopori oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Sekretariat Majlis TVET Negara adalah landasan yang amat tepat. Sudah pasti sokongan dan dukungan daripada pemimpin-pemimpin masyarakat, belia, komuniti, industri harus disatukan untuk bergerak ke arah matlamat yang sama.

“Ini satu perkembangan yang baik bukan sahaja pada masyarakat Malaysia mahupun golongan belia yang memilih TVET sebagai pilihan kerjaya masa depan tetapi dapat juga melihat kepada pelbagai pihak terutamanya sektor perindustrian sama ada diperingkat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ataupun GLC dan juga Multi Nasional Corporation yang berlumba-lumba untuk berpartisipasi dalam pembangunan TVET.

“Ini satu ekosistem mendorong kepada penjenamaan TVET negara yang lebih dinamik dan holistik. Kita dapat lihat beberapa sandaran kerajaan seperti ‘New Industry Master Plan’ yang menjadi sandaran pada usaha melonjakkan TVET sebagai pilihan utama negara,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Tambah Rizan, terdapat beberapa perubahan drastik pada penyertaan dan segala aktiviti pemerkasaan TVET ini diarus perdanakan, kini dapat lihat ianya benar-benar direalisasikan.

“Kita juga mengharapkan penyertaan industri yang bersifat nasionalisme yang tinggi kerana TVET memerlukan satu pembelanjaan yang besar. Sekiranya mengharapkan kerajaan semata-mata untuk memberikan pelaburan dan pembangunan dalam TVET sedikit sebanyak agak perlahan.

“Namun dalam penglibatan industri ini ianya akan lebih laju dan masyarakat akan berpeluang bukan sahaja kepada kumpulan yang mempunyai pendidikan akademik pertengahan ke atas tetapi kumpulan-kumpulan yang berada diperingkat bawah khususnya golongan belia yang tercicir.

“Golongan bekas banduan, bekas-bekas pemulihan dadah dan ini memberi gambaran bahawa TVET juga merupakan satu ‘intervensi sosial’,” katanya lagi.

Pada masa yang sama juga kata Rizan lagi, TVET mampu meningkatkan ekonomi dan pendapatan seseorang dan harus dibudayakan.

“TVET adalah pilihan utama yang setara dengan pendidikan akademik dan langkah yang diambil ini sudah pasti akan berikan lonjakan ekonomi, kesejahteraan sosial pada masyarakat.

“Ini dapat diterjemahkan dengan usaha kerajaan dengan gaji progresif dan juga gaji minimum untuk lulusan TVET yang tinggi dan memberikan satu jaminan produktiviti lebih hebat di masa akan datang.

“Sudah pasti TVET ini sebagai satu pilihan dan harus diarusperdanakan. Ianya harus melihat negara-negara maju seperti Jerman, Singapura, Itali, Jepun, China dan sebagainya. Negara tersebut meletakkan TVET sebagai satu pendidikan yang dibudayakan,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.