Setahun Kerajaan Perpaduan: UMNO Terus Main Peranan, Perjuang Kepentingan Bangsa – Syed Mohd Johan

ALOR SETAR, 7 Dis – UMNO terus memainkan peranan sebagai pejuang kepentingan Melayu dan bumiputera tanpa mengenepikan kaum lain sepanjang berada dalam Kerajaan Perpaduan selama setahun ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan untuk membina kestabilan politik merupakan langkah matang yang mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

“Penubuhan Kerajaan Perpaduan yang bermatlamat untuk membina kestabilan politik tanpa mengira dasar parti-parti dilihat sebagai langkah matang yang mengutamakan negara dan rakyat berbanding kepentingan mana-mana kelompok politik.

“Dalam tempoh masa setahun ini kita melihat kebijaksanaan politik ini telah membuahkan hasil kesan daripada kestabilan politik yang membolehkan ekonomi negara dapat dipacu semula sekaligus memberikan keyakinan kepada para pelabur,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kestabilan ditonjolkan Kerajaan Perpaduan ini amat berbeza dengan penggal lalu yang menyebabkan negara mengalami kemerosotan ekonomi akibat ketidaktentuan politik.

“Ini berbeza dengan penggal lalu. Kita telah melihat bahawa kesan daripada ketidakstabilan politik telah menjerumuskan negara dengan pelbagai cabaran sehinggakan negara terpaksa menanggung bebanan hutang.

“Pelabur juga tidak mempunyai keyakinan dengan dasar ekonomi negara yang sering berubah mengikut kepimpinan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut melihat kebajikan rakyat terjaga sepanjang pemerintahan Kerajaan Perpaduan kerana terdapat pelbagai inisiatif telah disediakan.

“Sepanjang pemerintahan Kerajaan Perpaduan selama setahun ini, kebajikan rakyat sememangnya terjaga. Cabaran ekonomi agak sukar pada waktu ini namun kerajaan telah meringankan beban rakyat dengan pelbagai inisiatif.

“Kita dapat lihat semasa Pembentangan Bajet 2024 baru-baru ini. Pelbagai bantuan telah disediakan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan macam-macam lagi. Apa yang lebih menggembirakan, segala bantuan ini diberikan secara adil dan saksama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa kedudukan UMNO sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan memperlihatkan parti ini masih memainkan peranan dalam menjaga kepentingan orang Melayu.

“Dengan penglibatan UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan ini, peranannya masih dimainkan sebagai pejuang dan penjaga kepada kepentingan orang Melayu serta bumiputera tanpa mengenepikan kaum-kaum lain.

“Ini dapat dibuktikan dengan penambahan belanjawan kepada kementerian-kementerian yang berkepentingan Melayu dan bumiputera selaras dengan peruntukan perlembagaan.

“Perkara ini tidak menjadi pertikaian parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan dan semuanya sehabis baik menjaga keharmonian agar Malaysia dapat terus dipacu ke hadapan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan telah menjangkau usia satu tahun pentadbirannya pada 23 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, tiada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Untuk menamatkan kemelut negara tidak berkerajaan selama beberapa hari, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.