Onn Hafiz Rakam Perhargaan Dilantik Pengerusi BPUN Johor

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO Malaysia yang telah melantik dan memberi kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan melalui hantaran dalam laman media sosialnya.

Pelantikan tersebut dilaksanakan berkuat kuasa serta-merta hari ini menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sehubungan itu, Onn Hafiz juga berterima ksih kepada Khaled atas komitmen beliau selama ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Khaled Nordin atas komitmen, bantuan dan kerjasama beliau dalam menerajui UMNO Johor selama ini.

“Saya juga mohon agar kepimpinan dan ahli UMNO Johor dapat bersama-sama bergerak sebagai satu pasukan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah.”

Onn Hafiz, 44, antara enam Ketua Bahagian di Johor yang menang tanpa bertanding pada pemilihan UMNO di peringkat bahagian, Februari lepas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.