Dr Akmal Nafi UMNO Tiada Tempat Di Hati Orang Melayu, Yakin Akan Dapat Kembali Kepercayaan

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh percaya sekiranya perubahan dilakukan sebagaimana pada kemahuan orang Melayu terhadap UMNO maka parti tersebut akan mendapat kepercayaan seperti sebelum ini.

Beliau mengakui bahawa sokongan orang Melayu terhadap UMNO kini berkurangan tetapi untuk menyatakan UMNO kini sudah tiada langsung tempat di hati orang Melayu adalah tidak benar.

“Ya, UMNO kalah di PRK Kemaman, tetapi jangan lupa kita juga menang di PRK Pelangai dan pengundi di DUN Pelangai adalah hampir 70 peratus terdiri daripada pengundi Melayu.

“Pas juga pernah mengalami kekalahan teruk sebelum ini, tetapi kita tidak pernah menyatakan bahawa Pas umpama kanser. Adalah adat sesebuah parti politik, mesti ada naik dan turun,” katanya dalam satu hantaran berkaitan hal terbabit.

Ujar Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, sokongan orang Melayu beralih kepada Perikatan Nasional (PN) kerana mereka merasakan UMNO itu tidak melakukan perubahan seperti yang mereka mahu.

“Mereka tiada alternatif lain selain dari memberi undi pada PN untuk menunjukkan undi protes kepada UMNO.

“Saya juga percaya, jika kepimpinan UMNO sedar apakah perubahan yang rakyat mahukan hari ini dan berusaha untuk melakukan perubahan tersebut, tidak mustahil sokongan mereka akan kembali semula kepada UMNO.

“Kerana saya percaya,rata-rata orang Melayu masih sayangkan UMNO tetapi kepercayaan mereka terhadap UMNO berkurangan atas sebab-sebab yang perlu pemimpin UMNO berani untuk lakukan perubahan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.