BN/UMNO Komited Bersama Kerajaan Perpaduan, Bukannya Mahu Bekerjasama Dengan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Rakyat sudah muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan, demikian tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Jelasnya, Barisan Nasional (BN)/UMNO sangat komited untuk membantu Kerajaan Perpaduan selepas setahun penubuhannya dengan memperkukuhkan lagi kepercayaan orang Melayu terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

“Puteri UMNO Malaysia berharap, semua wakil rakyat sama ada di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal fokus menjaga kebajikan rakyat serta bersama sama berganding bahu membawa negara ke arah yang lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Nurul Amal, pembangkang sewajarnya mendukung amanat yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) demi kemakmuran negara.

“Sebagai pembangkang yang baik, Pas mahupun Perikatan Nasional (PN) sepatutnya mendukung aspirasi Kerajaan Perpaduan yang dititahkan oleh YDPA bagi kesejahteraan rakyat sejagat dan bukannya memilih untuk menjatuhkan kerajaan yang masih dalam tempoh perkhidmatan.

“Selepas kekalahan BN pada PRU ke-15, parti ini akur dengan titah YDPA untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menyelesaikan kemelut politik negara yang tidak berkesudahan,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memanggil blok kepimpinan UMNO untuk bekerjasama semula dengan blok pembangkang buat masa dan ketika ini adalah satu kenyataan yang pentingkan diri.

Terdahulu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas menyatakan sebarang kerjasama dengan UMNO perlu melalui platform PN yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.