Penghantaran Bantuan Kemanusiaan Ketiga Untuk Palestin Pada 18 Dis

PUTRAJAYA, 6 Dis – Penghantaran bantuan kemanusiaan ketiga Malaysia untuk rakyat Palestin dijangka dibuat pada 18 Dis ini melibatkan pelbagai barangan seberat 60 tan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penghantaran bantuan yang diselaraskan Wisma Putra itu mesti dilakukan kerana ia amat diperlukan oleh rakyat Palestin yang terkesan.

“Kita harap keprihatinan rakyat Malaysia dapat diteruskan kerana kita lihat bahawa asakan lebih ke selatan di kawasan Gaza ini amat ‘menyakitkan’.

“Kezaliman ini masih diteruskan oleh pihak zionis dan kita tidak boleh hanya melihat, kita perlu terus memberikan bantuan berterusan kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza, yang terus dikenakan tekanan oleh pihak Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan kutipan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) oleh Wanita UMNO berjumlah RM621,954.60 dan Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd berjumlah RM200,000 di sini hari ini.

Malaysia melalui Ops Ihsan telah membuat penghantaran bantuan ke Gaza, dengan penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan, yang tiba di Gaza pada 10 Nov lepas, diikuti penghantaran kedua membawa 16 tan barangan bantuan tiba di Mesir pada 11 Nov 2023.

Ahmad Zahid turut meminta orang ramai untuk terus membuat sumbangan kepada rakyat Palestin menggunakan platform yang disediakan kerajaan bagi mengelak berlaku sebarang ketirisan.

“Koordinasi dilakukan oleh Kementerian Luar dan adalah lebih baik (guna platform kerajaan) jika kita khuatir penyaluran bantuan ini diberikan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang seolah-olah bertindak untuk membantu Palestin,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan kiriman sumbangan melalui AAKRP disampaikan kepada penduduk Palestin di Gaza menerusi badan yang boleh dipercayai.

Tabung AAKRP yang diselia Kementerian Luar diwujudkan susulan konflik di Semenanjung Gaza yang menjejaskan kehidupan penduduk Palestin di kawasan berkenaan.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.