Anjurkan Kursus Beri Kefahaman Konsep Malaysia Madani Kepada Pemimpin Tempatan – Bibi Sharliza

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berpandangan kerajaan Negeri Sembilan perlu mengajurkan kursus-kursus kepimpinan atau program pendedahan bagi memberikan kefahaman berkenaan konsep Malaysia Madani yang diketengahkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya ini termasuk kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang telah dilantik baru-baru ini.

“Saya ingin menyentuh tentang pembentukan JPKK baru-baru ini, alhamdulillah pelantikan telahpun dapat disempurnakan dengan baik yang mewakili pelbagai kaum di sesetengah tempat.

“Namun demikian, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mengajurkan kursus-kursus kepimpinan program pendedahan bagi menjadikan pimpinan baru di kampung-kampung ini memahami kewujudan kerajaan perpaduan dan di samping memahami konsep Malaysia Madani yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan berkata, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, mereka mesti menyahut usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan.

Ini kerana katanya mereka berperanan sebagai penyampai maklumat terutama saluran bantuan termasuk insentif-insentif daripada kerajaan supaya ia dapat disampaikan terus kepada rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Perpaduan juga perlu memainkan peranan penting di dalam Kawasan Rukun Negara (KRT) dan program-program kemasyarakatan yang lebih berkesan dan dinamik.

“Ini kerana kita pun ambil maklum ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan mengelirukan rakyat tentang konsep madani semata-mata untuk political mileage mereka

“Peruntukan yang diberikan bukan sahaja untuk keharmonian kampung-kampung tradisional atau kampung-kampung baru, taman-taman, tetapi kita juga mesti melahirkan pimpinan yang faham untuk menzahirkan Kerajaan Perpaduan ini sehingga di terima oleh rakyat,” ujar beliau.

Sementara itu, Bibi Sharliza turut berkata mencadangkan agar pemerkasaan wanita dipertingkat melalui program dan advokasi bagi menonjolkan bakat wanita di Negeri Sembilan meliputi bandar dan luar bandar.

“Dengan bajet sebanyak RM1.5 Juta, saya mencadangkan kita perlu senantiasa berhubung dengan Kementerian Wanita agar ada kesinambungan dalam usaha memperkasakan wanita untuk mencapai target Sustainable Development Goal (SDG 5) – Gender Equality dengan izin yang mana ianya telah diaspirasikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Insya-Allah dengan usaha-usaha Kerajaan Perpaduan atas konsep Malaysia Madani, Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang mencapai 30 peratus penglibatan wanita di dalam semua sektor untuk sama-sama menyumbangkan untuk kesejahteraan dan ekonomi Negeri Sembilan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.