Yakin Kekuatan Kerajaan Perpaduan, Perancangan Belanjawan 2024 Dapat Direalisasikan – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yakin dan percaya dengan kekuatan Kerajaan Perpaduan, setiap perancangan Belanjawan 2024 Negeri Sembilan akan dapat direalisasikan.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di atas kejayaan pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di atas kejayaan pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.

“Saya yakin dan percaya dengan kekuatan Kerajaan Perpaduan, setiap agenda yang dirangka oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ini dapat direalisasikan hasil kerjasama erat antara pimpinan BN dan PH di Negeri Sembilan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri.

Jelasnya, beliau memohon agar kerajaan negeri memberi perhatian kepada kerja menaik taraf dua jalan utama di Jeram Padang.

“Merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Sembilan pada hari jumaat yang lepas, Teras 1 menyatakan peruntukan sebanyak RM10.06 juta untuk naik taraf jalan dan lampu jalan.

“Jadi di sini saya mengambil peluang untuk diberi perhatian kepada Jalan FT10 (Bahau-Pasir Besar) dan FT1283 (Pasir Besar-Palong 2) agar kerja naik taraf melebarkan jalan, persimpangan Felda Palong 2, menyelenggara papan tanda dan pencahayaan sepanjang kedua-dua jalan ini.

“Untuk makluman Yang Dipertua saya juga ada memohon garisan jalan ‘glow in the dark’ untuk kedua-dua jalan ini kepada Kementerian Kerja Raya. Jalan ini merupakan jalan utama untuk ke selatan dan pantai timur maka ia amat penting untuk dinaik taraf,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut beranggapan bahawa Sungai Muar di Pekan Rompin perlu diselenggara dengan baik terutamanya di sepanjang tebing sungai.

“Yang Dipertua, sebanyak RM5.68 juta pula telah diperuntukkan untuk projek tebatan banjir dan lembangan sungai. Untuk makluman, di kawasan Jeram Padang, Sungai Muar di Pekan Rompin perlu diselenggara dengan baik terutama tebing di sepanjang sungai.

“Sungai ini merupakan tempat utama untuk aktiviti sukan kayak pada suatu ketika dahulu namun sekarang hanya jadi kenangan dan cerita sahaja.

“Saya harap ia diberikan keutamaan kerana aktiviti sukan kayak ini akan diteruskan sebagai produk pelancongan di kawasan Jeram Padang pada masa akan datang,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut memohon agar kerajaan negeri memberikan perhatian untuk menaik taraf dan menyelenggara sembilan kampung orang Asli di Jeram Padang.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan bahawa jalan raya di kawasan kampung orang Asli perlu dinaik taraf memandangkan rata-ratanya telah rosak seperti Kampung Orang Asli Batu Peti. Jalan raya ini telah diturap pada tahun 2011 namun sehingga ke hari ini tiada kerja-kerja menurap semula atau naik taraf. Maknanya sudah 12 tahun tidak diselenggara.

“Maka saya merayu dan memohon agar sembilan kampung orang Asli di kawasan saya perlu diberikan perhatian. Saya juga telah mengajukan permohonan ini kepada menteri berkenaan agar diberikan peruntukan demi memastikan kesejahteraan masyarakat orang Asli,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai Daerah Jempol yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam merealisasikan pembangunan stadium mini di Jeram Padang.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama Pegawai Daerah Jempol dengan pasukannya yang sentiasa memberikan perkhidmatan baik. Ini kerana beliau telah mencari tanah untuk merealisasikan pembangunan stadium mini Jeram Padang baru-baru ini. Terima kasih.

“Semoga segala usaha dan perancangan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar dapat direalisasikan demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Sembilan. Sekian, Jeram Padang menyokong,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.