Perak Teliti Kaedah Elak Hasil NR-REE Dicuri – MB

IPOH, 5 Dis – Kerajaan Perak dan Kerajaan Persekutuan sedang memantau dan mencari kaedah terbaik bagi mengelak hasil daripada projek unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata proses mengeluarkan NR-REE tidak sukar sebagaimana melombong bijih timah, maka sudah pasti terdapat kebimbangan proses pengeluaran NR-REE itu tidak terkawal.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membangunkan langkah untuk mengesan perbuatan tidak bermoral itu, selain langkah menghalang pihak tidak bertanggunjawab daripada mengeksport hasil NR-REE dengan perisytiharan secara salah dan langkah keselamatan yang melibatkan undang-undang serta akta.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan, kita sedang berusaha untuk mengadakan bengkel bagi membangunkan satu kaedah bagaimana kita nak mengesan, menangkap, bagaimana kita nak menghukum orang yang buat perbuatan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Saarani berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) yang ingin tahu langkah kerajaan mengesan tanah di Perak dengan NR-REE yang boleh dikawal supaya tiada kemasukan lombong haram dan langkah keselamatan supaya hasil bumi berkenaan tidak dicuri.

Sementara itu, Saarani berkata kadar royalti yang dikenakan kepada pihak penggerak projek adalah sebanyak 12 peratus daripada harga jualan NR-REE di negeri ini.

“Setakat September 2023, pihak penggerak projek telah menjelaskan bayaran royalti sebanyak hampir RM21.12 juta (RM21,119,381.38) melalui pengeksportan nadir bumi karbonat (REC) ke China.

“Selain itu, kerajaan tempatan melalui Majlis Daerah Gerik turut mengutip hasil melalui fi-fi yang berkaitan dengan kelulusan kebenaran merancang (KM) yang dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan NR-REE berkenaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) berkenaan kesan NR-REE di Kenering, Gerik kepada penambahan pendapatan Kerajaan Perak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.