Noraini Laksana Khidmat Bakti Berterusan Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meneruskan politik khidmat bakti dengan menyantuni masyarakat.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau baru-baru ini berbesar hati ke Batu Pahat bagi menziarahi keluarga Ketua Wanita UMNO Cawangan, Azrina yang kehilangan anaknya dan suami kepada jururawat Klinik Kesihatan Seri Medan, Zarina Sariha.

Beliau dalam kunjungan ke rumah waris meluahkan simpati atas kehilangan insan tersayang, di samping menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan Allahyarham dan Allahyarhamah di tempatkan bersama golongan yang soleh.

“Kami singgah di rumah Puan Azrina yang baru sahaja kehilangan anak kesayanganya yang baru sahaja berusia 16 tahun. Sayu kami mendengar cerita mengenai anaknya, Allahyarham Muhammad Irfan Syabil yang mengidap penyakit barah otak.

“Semoga Azrina terus diberikan kesabaran, kekuatan dan ketabahan menempuhi ujian kerana Allah telah menjanjikan pahala yang sangat besar untuk orang-orang yang bersabar.

“Kami seterusnya ke Kampung Parit Ulong, Seri Medan untuk menziarah suami arwah Zarina Sariha, seorang jururawat Klinik Kesihatan Seri Medan, Batu Pahat.Mendengar cerita suaminya dapat kami merasakan yang dia betul-betul terasa dengan kehilangan isterinya dan mereka sangat rapat.

“Arwah Zarina meninggal dunia Subuh selepas tanak nasi dan menyiapkan sarapan pagi untuk keluarganya. Suaminya memberitahu kami yang perginya amat mudah dan arwah adalah isteri yang sangat baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu menerusi satu perkongsian berasingan beliau turut berkesempatan memenuhi jemputan Puan Alama sempena majlis perkahwinan anak bongsunya yang mendirikan rumah tangga.

“Kedua pasangan pengantin bertugas sebagai anggota polis di Machang, Kelantan. Pengantin perempuan orang Kedah dengarnya. Tahniah kak Alama terima menantu.

“Buat kedua mempelai, selamat menempuh hidup baru. Semoga sama-sama dapat membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan warrahmah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.