Transformasi Politeknik 2023-2024 Jadikan Politeknik Pemain Utama TVET

PUTRAJAYA, 4 Dis – Politeknik akan menjadi medan dan pemain utama untuk latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Transformasi Politeknik 2023-2024, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berucap meluncurkan Transformasi Politeknik 2023-2024 di sini hari ini, beliau berkata transformasi itu merupakan usaha pengukuhan kebolehpasaran graduan yang sistematik dan bersifat langsung.

“Transformasi ini adalah satu proses mengoptimumkan bakat, potensi serta peluang negara untuk menjadi maju dan berdaya saing melalui lapangan TVET,” katanya.

Kerangka Transformasi Politeknik 2023-2030 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merumuskan empat matlamat, tiga inisiatif pembaharuan berstrategik, 13 agenda pembaharuan kritikal dan 18 objektif strategik.

Ahmad Zahid berkata transformasi politeknik mesti dijayakan kerana wujudnya cabaran abad ke-21 seperti gelombang Revolusi Industri (IR 4.0), penggunaan Internet benda, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta teknologi disruptif.

“Kesemua ini merupakan satu ledakan yang menuntut penyelarasan semua program latihan yang kita tawarkan. Ia mesti bersifat semasa. Malah, ia mesti menjawab keperluan dan permintaan terkini pasaran.

“Kandungan pengajian, kaedah dan pendekatan pembelajaran, serta fokus sesuatu penyelidikan dan inovasi. Semua ini mesti tidak boleh terpisah daripada kemaraan teknologi semasa,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menekankan keperluan mempelbagai hubungan dan jalinan kerjasama dengan semua pihak khususnya pemain industri.

“Jalinan hubungan sangat penting dan kena keluar dari kepompong kelaziman. Segala jalinan dan hubungan yang ada mesti dirancakkan. Kita mesti bersama-sama meneroka dan memeta kerjasama yang lebih radikal dan pelbagai dengan semua pihak,” katanya.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana melaksanakan hala tuju baharu untuk politeknik, selain memaklumkan dasar TVET negara sedang dibangunkan dan dijangka dilancar pada tahun depan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.