Mantapkan Gerak Kerja, Kukuhkan Semangat Berpasukan Dalam UMNO – Rosnah

PAPAR, 4 Dis – Ahli-ahli UMNO perlu terus bersemangat dan memantapkan gerak kerja dengan mengukuhkan semangat kerja berpasukan dalam parti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Katanya, dalam menghadapi pelbagai cabaran hari ini, anggota parti dari akar umbi, bahagian hinggalah ke pusat memainkan peranan yang sangat penting.

“Pelbagai aktiviti boleh diadakan untuk terus menyemarakkan perjuangan UMNO yang boleh dilaksana bukan hanya bersama masyarakat awam tetapi paling penting adalah kebersamaan dan semangat kerja berpasukan dalam parti sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar telah mengadakan program ‘team building’ bersama-sama anggota bahagiannya pada Sabtu lalu.

“Ini adalah siri 1 dan akan dilanjutkan untuk masa-masa akan datang. Program ini bersifat ‘team bonding’ yang diharap akan dapat mengukuhkan kembali semangat kerja berpasukan antara ahli jawatankuasa, penyelaras dan juga jentera Wanita UMNO di sini.”

Jelasnya, pelbagai pengisian dilaksana menerusi program terbabit termasuk aktiviti yang menguji minda, kesatuan, jati diri dan potensi diri.

“Kita mahukan kesiapsiagaan dalam kalangan anggota parti yang menjadi jentera serta benteng parti bagi mendepani apa-apa juga halangan pada masa hadapan.

“Apatah lagi suasana politik masa kini khususnya politik Sabah amat mencabar dan kita mahukan Wanita UMNO teguh dalam pendirian demi kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.”

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Negeri Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed.

“Diharapkan program ‘team building’ ini dapat memberikan impak sewajarnya kepada semua yang terlibat bagi memantapkan lagi kesatuan di kalangan kita dan terus ‘bersatu, bersetia dan berkhidmat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.