Belanjawan Negeri Sembilan Ajak Rakyat Bina Negeri Madani – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat  belanjawan Kerajaan Perpaduan negeri itu yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mencakupi pelbagai aspek.

Dalam satu kenyataan beliau menambah ianya belanjawan pertama untuk Kerajaan Perpaduan hasil daripada mandat dan impian rakyat bagi melihat sebuah penguasa negeri yang stabil dan makmur.

“Alhamdulillah Menteri Besar Negeri Sembilan telah membentangkan suatu belanjawan yang berjumlah RM555 juta untuk rakyat Negeri Sembilan.

“Peningkatan sebanyak 7.69 peratus untuk anggaran belanja pembangunan mencerminkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan mahu membina arah menjadi sebuah negeri ‘2nd Klang Valley In The Making’.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri Sembilan tidak meminggirkan soal yang berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen YAB MB kerana memperuntukkan RM11.22 juta khusus untuk agenda peningkatan hasil buah-buahan, hasil sayuran, tanaman ladang dan industri asas tani,” katanya.

Katanya lagi agenda perkhidmatan veterinar juga tidak dikesampingkan dengan peruntukan sejumlah RM5.48 juta untuk peningkatan ternakan, pembangunan teknologi pengeluaran makanan dan kualiti perkhidmatan bidang ini.

Tambahnya lagi melalui Teras enam Pertanian Aspirasi Perpaduan, Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM22.75 juta bagi tahun 2024 dan ianya meliputi program tingkatan hasil buah, sayur, padi, usahawan tani, industri asas tani dan transformasi kaedah pertanian.

“Selain itu bagi mengurus isu kos sara hidup rakyat, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM3 juta untuk Program Jualan Agro Madani, RM2.24 juta untuk proses pengeluaran ternakan dan genetik ternakan, dan RM2.19 juta untuk peningkatan kualiti dan pengembangan veterinar.

“Tidak cukup dengan itu, Skim Sejahtera Rakyat juga diperkenal bagi menambah cakna kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Ia merangkumi inisiatif buat warga emas (RM14.8 juta), bayi (RM1.6 juta), belia (RM5 juta), pelajar sekolah (RM150 ribu), siswa dan siswazah (RM7 juta), ibu tunggal (RM1 juta) dan bantuan food bank (RM200 ribu).

“Saya mengajak semua rakyat di negeri ini untuk sama-sama memberi sokongan kepada Belanjawan 2024 ini bagi kita membina sebuah Negeri MADANI,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.