Ahmad Zahid Sanggah Spekulasi Hidap Kanser, Letak Jawatan Presiden UMNO

PUTRAJAYA, 4 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menolak spekulasi bahawa beliau menghidap kanser dan akan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di sini hari ini berkata beliau menjalani pembedahan prostat baru-baru ini dan telah kembali sihat.

Ketika diminta mengulas spekulasi beliau menghidap kanser dan akan meletakkan jawatan, Ahmad Zahid berkata: “Saya sendiri pun tidak tahu akan melakukan perkara itu (letak jawatan) dan saya memang ada menjalani pembedahan prostat.

“Janganlah buat spekulasi yang macam-macam. Alhamdulillah saya sihat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan khabar angin yang mengatakan Ahmad Zahid akan melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO kepada bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana masalah kesihatan.

Ahmad Zahid kembali bertugas pada Jumaat lepas (1 Dis) serta menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas tempoh berehat setelah menjalani pembedahan baru-baru ini.

Pada 19 Nov lepas, anak sulung Timbalan Perdana Menteri Datuk Nurulhidayah menerusi hantaran di Instagram, mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan yang diadakan pada 14 Dis.

Mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata kemenangan PAS di Kemaman tidak boleh dianggap sebagai referendum rakyat.

“Kita tidak boleh anggap sebagai referendum kerana itu satu kepompong kecil di Kemaman. Mana mungkin 141,000 pengundi di Kemaman dianggap sebagai satu referendum? Jadi kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari,” katanya.

Ahmad Zahid berkata tidak ada peningkatan sokongan kepada calon PAS dalam PRK Kemaman itu, serta dalam masa yang sama pengundi putih BN iaitu kira-kira 10,000 orang tidak keluar mengundi.

Semalam, PAS mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman selepas calonnya iaitu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi PRK berkenaan dengan majoriti 37,220, setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

Susulan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata kemenangan Ahmad Samsuri membuktikan referendum rakyat berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan Perikatan Nasional (PN). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.