ADUN Pelangai Angkat Sumpah Jawatan Di DUN Pahang

KUANTAN, 4 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Amizar, 50, yang berasal dari Felda Chemomoi yang terletak dalam DUN Pelangai, mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Mohd Sharkar seterusnya mengucapkan tahniah kepada Amizar atas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai yang diadakan pada 7 Okt lepas.

Pada pilihan raya itu, Amizar yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,949 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli hilang deposit selepas hanya memperoleh 47 undi.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun juga daripada BN, maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.