“Saya Tegaskan Jangan Sesekali Tangguh Atau Tolak Tawaran Tersebut”

KUALA LUMPUR, 3 Dis – “Saya tegaskan jangan sesekali tangguh atau tolak tawaran tersebut,” demikian tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujar Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO, Institut Kemahiran MARA (IKM) atau mana-mana institusi pendidikan MARA memang keutamaan mereka membantu pelajar-pelajar miskin dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Dr Asyraf memberi respon demikian terhadap mesej yang diterima dalam peti masuk (inbox) Facebooknya pagi tadi, seperti berikut:

“Anak saya dapat tawaran ke Institut Kemahiran MARA Besut tapi kami ada masalah wang untuk membayar pendaftaran RM350. Boleh ke saya minta untuk tangguh pengajian dia atau tolak tawaran tersebut?”.

Seterusnya, Dr Asyraf telah meminta semua institusi pendidikan MARA jika ada kes-kes pelajar yang tidak mampu bayar yuran atau kos-kos awalan lain, terima dahulu mereka masuk.

“Pelajar-pelajar boleh bayar secara ansuran atau banyak kaedah lain untuk membantu.

“Yang penting ambil peluang masuk dalam program-program TVET atau kemahiran yang MARA sediakan kerana ia mampu merubah nasib diri dan keluarga dengan tawaran kerja yang tersedia beserta potensi gaji yang lumayan dan bermaruah,” katanya.

Dalam ruangan komen di statusnya itu, Dr Asyraf berkata bukan IKM sahaja tetapi saranan ini terpakai untuk semua Institusi Pendidikan MARA termasuk Maktab Rendah Sains Mara, (MRSM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Profesional Mara, Kolej Mara, Kolej Polytech-Mara, UniKL, UPTM.

“Harap dapat dikongsikan dengan mana-mana yang hadapi kesukaran serupa,” serunya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.