Melaka Kenal Pasti Produk Pelancongan Baharu Di Daerah, Parlimen

JASIN, 3 Dis – Kerajaan Negeri Melaka akan mengenal pasti produk pelancongan baharu di kawasan Parlimen dan daerah untuk diketengahkan bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebagai contoh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di daerah Jasin dipilih untuk menjayakan Karnival D’Bendang yang bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini.

Beliau berkata selain itu, Parlimen Masjid Tanah juga mempunyai produk pelancongan baharu iaitu Cruise Sungai Linggi dan Restoran Terapung Sungai Linggi yang dijangka dibuka kepada pengunjung pada pertengahan bulan ini.

“Sebenarnya kita tak boleh nak fokus ke semua DUN kerana kita ada 28 DUN, tetapi kita fokus ikut daerah (dan Parlimen)… kalau daerah Jasin inilah kaedah yang terbaik (mengadakan Karnival D’Bendang) bersempena dengan pesta menuai padi.

“Jadi, dalam daerah Jasin kita berikan kepada DUN Sungai Rambai untuk mendahului dalam mempromosikan dan menjayakan agropelancongan yang cukup hebat ini, dan kita akan mencari, mengkaji dan menilai daerah-daerah (serta Parlimen) yang lain supaya akan muncul produk pelancongan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Karnival D’Bendang di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini hari ini.

Ab Rauf berkata Karnival D’Bendang itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024.

“Kita akan memastikan kawasan ini akan berubah wajah menjadi kawasan tarikan pelancongan baharu dan akan memberi peluang kepada masyarakat setempat dalam pelbagai kaedah ekonomi rakyat yang akan kita gerakkan (sempena TMM2024).

“Perkembangan pelancongan di Melaka akan menjadi satu detik sejarah baharu dalam mewajahkan Melaka sebagai kota pelancongan dan kota tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.