Perak Bentang Belanjawan RM1.35 Bilion Untuk 2024

IPOH, 1 Dis – Kerajaan Perak membentangkan Belanjawan 2024 membabitkan peruntukan RM1.35 bilion melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta dan pembangunan RM491 juta.

Menteri Besar Saarani Mohamad membentangkan belanjawan bertemakan “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” itu pada sidang DUN Perak.

Belanjawan itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

“…berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.28 bilion yang terdiri daripada hasil cukai (RM657.7 juta), hasil bukan cukai (RM392.2 juta) dan terimaan bukan hasil (RM192.6 juta) dan terimaan pembangunan RM37.0 juta.

“Jumlah hasil yang terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil berjumlah RM1.24 bilion, iaitu peningkatan RM108.9 juta (9.6%) berbanding sasaran 2023,” katanya.

Saarani berkata bagi anggaran Terimaan Pembangunan 2024 meningkat kepada RM37.0 juta berbanding RM25.4 juta pada 2023 iaitu peningkatan RM11.6 juta.

Bagi fokus pertama iaitu kesejahteraan rakyat kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM384.1 juta untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang berpaut kepada matlamat mengupayakan sara diri, membangunkan potensi dan kapasiti rakyat bagi mengharungi cabaran kehidupan.

“Memahami ketidaktentuan iklim ekonomi yang menekan kehidupan rakyat marhaen lantaran peningkatan kos sara hidup, sukacita saya mengumumkan, kadar semasa bantuan RM300 sebulan yang telah memberi manfaat kepada 6,600 penerima sehingga Okt 2023 akan dinaikkan kepada RM400 sebulan iaitu kenaikan RM100 mulai Jan 2024.

“Bagi program Kad Perak Sejahtera bagi pembelian barangan keperluan asas keluarga akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun hadapan dengan peruntukan RM24.0 juta dengan kadar tunai program kad bantuan makanan ini yang telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 pada 2023, akan ditingkatkan lagi kepada RM100 mulai tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, bagi fokus Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Saarani berkata RM393.4 juta bagi menjayakan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi perlu dilipatgandakan sebagai pelantar menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat selain mendukung inisiatif memakmurkan ekonomi domestik. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.