Laksana Tanggungjawab… Ahmad Zahid Zahir Rasa Syukur, Dapat Kembali Bertugas

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah kembali bertugas dan menghadiri mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan rasa syukur kerana dapat kembali untuk melaksanakan amanah.

“Alhamdulillah. Dengan rahmat Allah SWT, saya kembali bertugas melaksanakan amanah yang telah ditaklifkan dengan menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Semoga terus diberikan kesihatan yang baik untuk berkhidmat demi rakyat dan dipermudahkan segala urusan.

“Terima kasih atas sokongan dan doa dari semua pihak. Semoga semangat ini dapat kita bersama menjalankan amanah untuk negara. Insya-Allah,” katanya.

Pagi ini media melaporkan Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat kabinet selepas tempoh berehat akibat menjalani pembedahan baru-baru ini.

Pada 19 November lalu, anak sulung beliau, Datuk Nurulhidayah menerusi hantaran di laman Instagram memaklumkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan yang berlangsung pada 14 November.

Pada 23 November, Ahmad Zahid memaklumkan di laman sosial miliknya bahawa beliau dalam tempoh berehat seperti dinasihatkan doktor sebelum kembali bertugas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.